Saturday, April 3, 2010

bab12

BAB 12
Dan yang memandu berasa seram sejuk memikirkan kemungkinan dia akan dihalau oleh Encik Ariff. Bimbang juga dia. Masuk sahaja simpang menuju ke rumah Sarina, makin kuat genggaman di stereng. Sarina tersenyum pada Dan walaupun Dan memandang jalan. Sarina tahu dia ketar.
“Kalau ya pun ketar, janganlah genggam stereng macam nak patah-patahkan stereng tu.” Sarina mengomel.
“Hah?! Apa?” Dan bingung apa yang dikatakan.
“Maaf. Tiada siaran ulangan. Hanya siaran langsung sahaja.”
Dan tersenyum kelat. Senyumannya berbalas dengan senyuman bersemangat. Makin kereta Sarina bergerak menghampiri rumah Sarina, makin berdegup jantungnya mengepam. Kecut hatinya!
“Banyaknya orang.” Sebut Dan perlahan. Sebaik sahaja matanya melihat orang yang ramai, bulat matanya. Bibir Sarina mengatur tawa sambil tangannya menekup mulut.
“Dah kebanyakkannya keluarga saya. Besar punya!” Sarina masih bersisa tawa. Cuba mengurangkan debaran didada. Macam nak pergi menikah! Dan tayang giginya yang putih awan. Nampak gebu pula giginya!
Ramai yang memaksa bola mata mereka memandang ke arah kereta yang mereka ketahui, kereta Sarina. Tetapi, dipandu oleh orang lain dan orang lain itu ialah seorang lelaki!
Pandangan yang dilemparkan oleh orang yang berada dirumah Sarina, membuatkan Dan menelan air liurnya. Berkali-kali! Naik kematu lidahnya.
“Push! Push!” Sarina mengejek Dan yang ketara masih berdebar. Takut kena pelangkung dengan Encik Ariff.
“Ingat saya mengandung ke apa?”
“Sudahlah! Jom keluar. Takkan nak duduk dalam kereta ni sampai bila-bila? Kalau nak, boleh aje.”
Mereka melangkah keluar dengan gaya seperti James Bond nak pergi perang. Angin sempoi-sempoi menyapa rambut Dan yang agak panjang. Namun, belum panjang sangat untuk dibuat tocang.
Bajunya semasa di dalam kereta agak menampakkan susuk tubuhnya, menjadi lebih seksi disapa angin. Sarina menyadarkan tubuh di tepi kereta sambil berpeluk tubuh. Dan hanya memerhatikan Sarina kemudian beralih ke arah rumah Sarina yang sesak dengan sanak saudaranya.
“Nak bersandar situ sampai malam ke?” raut wajahnya berkerut menahan cahaya matahari.
“Habis tu?” Sarina bingung.
“Ambillah barang tu dulu.” Diunjuk jari ke arah bonet kereta.
“Kejap nanti pun boleh. Sekarang, pergi jumpa dia orang dulu. Itu no hal punya. Sepupu sepapat saya boleh tolong ambilkan. Jom.”
Dan membuntuti Sarina dari belakang. Tidak berani berjalan gaya macam kenal tahap gaban dengan tuan rumah. Tanah menjadi mangsa matanya sebaik sahaja mata Dan bertembung dengan Encik Ariff. ‘Macam nak telan aku aje gaya dia,’ bisik hati Dan.
Pada ketika itu, Encik Ariff yang sedang melayan cucu-cucunya di dalam, anak kepada Amir dan Nurbaya, abang dan kakak ipar Sarina. Afsyan dan Afsyah cuba mendapatkan jam yang Encik Ariff pegang dan cuba tinggikan tangannya itu. Namun, tika matanya menangkap tubuh Dan dimuka pintu membuatkan pergerakkannya terhenti. Kesempatan itu digunakan oleh pasangan kembar itu untuk mengambil jam ditangan atuk mereka. Encik Ariff tidak sedar. Matanya masih terpaku pada raut wajah yang dia rasakan kenal. Berkerut dahinya mencari visual dikepalanya. Dari alam mana entah Sarina masuk ke dalam rumah dan menghampiri Encik Ariff.
“Ayah. Apa khabar?” Sarina sua tangan untuk bersalam. Encik Ariff tersentak. Baru dia sedar pasangan kembar tadi telah berjaya mengambil jan mereka.
“Hah?! Oh, ayah sihat. Kau apa khabar?” segera dia menyuakan tangan tetapi mata masih terpaku pada Dan. Gelisah Dan dibuatnya. Sarina melabuhkan punggungnya di atas lantai.
“Sihat.” Jawabnya ringkas.
“Tu siapa?” perlahan sahaja soalan yang dilontarkan Encik Ariff. Sarina tidak mengerti. Dipandang ke arah Encik Ariff memuncungkan mulut. Terlupa dia seketika dengan kehadiran Dan. Dan masih berdiri dimuka pintu.
“Eh, masuklah. Lupa pula. Ayah, kenalkan ini Dan.” Dan yang sudah masuk segera menyua tangan untuk bersalam dengan Encik Ariff. Salamnya bersambut.
“Sejuknya tangan. Baru lepas menikah ke apa.” Seloroh Encik Ariff.
“Dan? Macam pernah kenal nama tu.” Sambungnya kembali.
Dan sedikit gelisah. Pada masa yang sama dia juga lega kerena Encik Ariff belum mengetahui siapa dia sebenarnya.
“Duduk mana?” sekarang Dan menjadi perhatian Encik Ariff. Bukan lagi ole-ole yang ditunggu-tunggu dari Sarina.
“Kl.”
“Owh!” muncung macam itik sahaja mulut Encik Ariff. Nampaknya Encik Ariff belum mengenali Dan lagi. Dan membetulkan bajunya yang sememangnya sudah betul.
“Dah lupakan Rina ke? Tak nak hadiah ke?” umpan Sarina. Sebolehnya dia tidak mahu Encik Ariff mengorek lebih banyak maklumat pada Dan. Termakan umpan Sarina, Encik Ariff terus lupa dengan pertanyaan yang terkumpul dibenak fikirannya.
“Mana?” bercahay matanya.
“Ada dalam kereta. Kejap nanti Rina pergi ambil.”
“Eh, Rina dah balik? Bila sampai?” serbu Nadya sambil tangannya mengendong Nur Nafira yang masih kecil. Umurnya setahun. Nadya berkahwin dengan abang Sarina, Fawwaz.
“Baru aje sampai. Tak sempat punggung nak panas.” Senyum Sarina sambil mengambil Nur Nafira dari Nadya.
“Kalau nak panas, pergi letak punggung kau ke dalam air panas. Kejap nanti panaslah tu. Kau boleh tolong jagakan Fira tak? Akak nak pergi buat kerja kejap. Nanti akak datang balik.” Menonong Nadya pergi.
Dan memandang bayi di dalam dukungan Sarina. Hatinya berdetik alangkah bahagianya dia jika mereka sudah menjadi suami isteri dan mempunyai seorang anak yang comel. Sebuah keluarga yang lengkap. Ditambah pula keriangan anak-anak nanti. Betapa lembutnya Sarina melayan anak-anak mereka. Betapa dengan penuh perasaan kasih sayang Sarina melayannya kelak. Pandangannya kemudian beralih kepada Sarina. Dia rasa bertuah jika memiliki Sarina. Tidak berkelip dia memandang Sarina.
“Kerja apa?” pertanyaan Encik Ariff yang secara mengejut menyentakkan Dan yang leka berangan. Dan memandang Encik Ariff yang merenung Dan. Mereka berbalas pandangan.
“Hah?! Oh! Pengacara tv.” Sedikit gugup.
“Hah kalau macam tu bolehlah siaran langsungkan majlis kenduri kami ni.” gurau Encik Ariff tanpa mengetahui siapa sebenarnya Dan. Dia tertawa dengan kata-katanya sendiri.
“Saya tak kisah. Boleh aje. Aiman tak kisah!”
Bertambah-tambahlah tawa Encik Ariff.
“Pandai buat lawak!” komen Encik Ariff. Bahunya terhenjut-henjut menahan ketawa. Tidak dapat Dan bayangkan apa yang akan dilakukan oleh Encik Ariff jika dia sudah mengetahui siapa Dan sebenarnya.
Dan turut ketawa. Ketawa yang kelat Sarina rasakan. Sarina memandang Dan. Pandangan mereka bertaut. Dan menghantar kata menerusi matanya. Getus Dan perlahan. “I’m dead.”

“Kau Dan, kan?” sapa seorang lelaki yang memakai baju T dan berseluar jeans agak baru. Badannya sedikit gempal. Kata orang tegap. Hidungnya sebiji macam Sarina. Warna matanya coklat. Rambut tersisir rapi. Jarinya tertuding dada Dan. Dia yang sedang mengambil beg di bonet kereta Sarina terpinga-pinga. Tangannya terhenti.
“Ya, saya.” Dan tersenyum. Lelaki itu masih berkerut dahi. Wajahnya seperti dapat mengetahui sesuatu yang berharga.
“Tak. Maksud saya anak pak cik Kamaruddin.” Perjelas lelaki itu lagi.
Berubah raut wajah Dan. Lelaki itu tersenyum. Dan takut dan ketar. Sah! Kejap lagi Encik Ariff akan lempar dia dengan periuk belanga.
“Patut macam kenal. Tak sangka kau dah banyak berubah. Dulu aku tengok kurus melidi. Berjalan pun melayang semacam aje.” Mesra senyuman lelaki itu. Terangguk-angguk dia.
Dan masih dalam dilema.
“Ayah aku dah tahu ke?” lelaki itu masih terus melontar kata-kata. Sedangkan Dan masih kaku dan kaget serta bungkam. ‘Ayah? Mesti dia ni abang Rina. Mesti abang Amir!’ teka Dan dalam hati.
Dan menggeleng. Lelaki itu angguk kepala tanda mengerti.
“Abang Amir, kan?” Dan mahukan kepastian. Takut tersalah orang pula.
“Ha la. Tak apalah. Aku simpan rahsia ni. Okeylah, bawa masuk beg dalam rumah dulu. Aku nak pergi belakang rumah dulu. Nak kena pergi tengok orang kat belakang masak.” Jelas Amir tanpa Dan pinta. Terus dia berlalu ke belakang rumah.
Dan berasa ringan sikit kepalanya.

No comments:

Post a Comment