Saturday, April 3, 2010

bab19

BAB 19
Encik Ariff menongkat dagu sambil memandang kolam ikan yang terdapat di ruang sebelah kiri rumahnya. Ruang itu dipenuhi dengan bunga-bunga yang Puan Aisyah sendiri tanam. Kolam ikan pula terletak disebelah bunga-bunga itu dan kerusi batu serta meja kaca bulat untuk bersantai juga terdapat disitu. Matanya merenung kolam tetapi pemikirannya melayang. Dia sebenarnya tidak berada ‘disitu’.

Encik Ariff dan Encik Ahmad berdiri di hujung tanah yang padangnya merumput hijau. Sangat cantik pemandangan disitu. Dibelakang tanah itu pula terdapat anak sungai yang boleh dibuat tempat untuk beriadah. Air sungai itu sangat jernih. Anak ikan yang kecil pun, pasti akan ternampak jua. Tanah itu sangat luas.
Mereka berdua bercekak pinggang sambil mengecilkan pemandangan kerana matahari pada tengah hari itu menyengat mata mereka. Sudah mereka pakai cermin mata hitam namun tidak puas kerana menghalang menikmati pemandangan yang Allah s.w.t ciptakan untuk makhluknya.
“Macam mana tanah ni? Agak-agak kau, cantik tak tempat ni? Apa pendapat kau?” tanya Encik Ariff.
“Tempat ni memang menarik. Kat belakang tu pula ada sungai, elok sungguh kalau dibuat tempat berkelah. Bila petang kita datang bawa anak beranak datang sini. Mandi kat sini. Cukup cantik tempat ni.” Cadang Encik Ahmad.
Matanya berkali-kali menatap tempat ini kerana keindahannya. Tidak puas dia menatapnya. Encik Ariff pula sudah tersengih mendengarkan bicara Encik Ariff sebentar tadi. Dipandang wajah Encik Ahmad yang terangguk-angguk kemudian, beralih kepada tanah yang terbentang luas di hadapan mereka.
“Sebenarnya tanah ni aku nak beli.” Lambat-lambat Encik Ariff menuturkan hasrat hatinya.Kerana itulah dia mengajak Encik Ahmad datang ke situ. Terus dia memandang Encik Ariff. Riak wajah Encik Ahmad jelas terkejut. Niatnya juga mahu membeli tanah yang tak didiami itu. Tidak pula dia sangka Encik Ariff juga terfikir mahu membelinya.
Mukanya sudah berkerut. “Apa? Kau nak beli?” tanya Encik Ahmad. Nadanya berubah rentak ke perlahan. Lebih kepada orang kecewa. Matanya masih memandang Encik Ariff.
“Ya. Aku nak beli tanah ni. Aku cadang nak buat rumah. Macam mana? Okey tak?” tanya Encik Ariff tanpa ada rasa syak dengan perubahan suara, raut wajah, dan tingkah laku pada Encik Ahmad. Pandangan Encik Ahmad berubah ke bawah memandang tanah yang menghijau dek rumput halus dan menjalar. Encik Ariff terus-menerus memandang tanah itu, membayangkan sebuah rumah impiannya didirikan disitu.
“Okey juga. Jom balik. Nanti tercari-cari pula isteri kita tu. Keluar pun bukannya bagitahu dengan dia orang.” Nadanya kecewa. Segera dia berlalu pergi terlebih dahulu menuju kereta yang tersadai dijalan sempit.
Encik Ariff mengangguk tanpa menyedari perubahan sahabatnya itu.
“Betul juga. Nanti balik kena belasah dengan kuali pula.” Gurau Encik Ariff dan bergerak ke kereta yang dipandunya. Encik Ahmad sudah sedia menunggu di dalam kereta.

“Abang! Kenapa termenung ni? Orang panggil banyak kali tapi tak dengar pula orang tua ni.” Bebel Puan Aisyah memampan di tepi telinga Encik Ariff. Tersentak Encik Ariff dengan nada tinggi isterinya. Lamunan terhenti begitu saja. Diletak dulang diatas meja kaca bulat itu.
Dia tersenyum kepada isteri yang dikahwininya 30 tahun. Masih tetap cantik pada pandangan matanya. Alis mata tetap cantik seperti pertama kali berjumpa. Bertudung molek mengikut fesyen. Tampak kewanitaan.
“Tak adalah.” Nafi Encik Ariff.
“Tak nak mengaku konon. Saya panggil abang banyak kali tapi tak dengar. Tak ke mengelamun namanya tu?” dihenyak punggungnya diatas kerusi bertentangan dengan Encik Ariff.
Sengih Encik Ariff, manakala PuanAisyah menuang air ke dalam cawan. Air sirap cincau sejuk menjadi pilihan. Disuakan cawan berisi air sejuk itu kepada Encik Ariff. Hulurannya bersambut. Perlahan dia menghirup air sejuk itu sambil mata terpejam. Cuba memadam visual yang tergambar difikirannya sebentar tadi. Cuba melupakannya.
“Apa yang abang mengelamunkan?” tanya Puan Aisyah setelah melihat muka Encik Ariff yang seperti menahan rasa. Tangan sendiri digenggam.
“Tak ada apalah. Cuma teringat...” Tiba-tiba Encik Ariff terasa sebak. Cuba ditahan. Diletakkan cawannya berhati-hati. Dia berpeluk tubuh. Mata Puan Aisyah masih setia merenungnya.
“Teringatkan apa?” korek Puan Aisyah.
“Teringatkan Mad.” Keterangan secara ringkas membuarkan Puan Aisyah terkedu. Dia sendiri tidak menyangka suaminya akan mengingati kembali rakan lamanya itu. Direnung mata Encik Ariff yang suram. Wajahnya sedikit keruh. Dia merindui rakannya itu. Mahu dicari tetapi tidak tahu dimana mahu bermula kerana tiba-tiba sahaja Encik Ahmad menghilangkan diri.
“Apa yang abang teringatkan tentang dia?” suara berentak perlahan. Encik Ariff tertunduk.
“Semua kenangan kami. Kenangan semasa kecil. Abang rindukan zaman kami kecil dulu. Rindukan dia marah pada abang. Rindukan masa kami bergaduh depan ibu kami. Rindukan masa hari raya, kami pergi raya bersama. Rindukan masa kami pergi berkelah. Rindukan masa kami belasah budak yang kacau kami.” Bahu Encik Ariff terenjut-enjut kerana ketawa kecil. Puan Aisyah tersenyum nipis. Matanya masih merenung anak mata Encik Ariff yang memandang ke arah lain. Mata Encik Ariff sedikit berkaca.
Dia tergamit dengan rindu kisah silam yang menyeronokkan.
“Abang dengan dia belasah budak yang kacau abang dengan dia?” mahu mengubah sedikit suasana agar tidak terlalu emosional.
Encik Ariff ketawa besar. Sudah mampu untuk ketawa. Mindanya melayang ke peristiwa silam itu.
“Betul! Kami belasah budak yang kutuk kami dua orang. Naik lunyai kami belasah dia. Selepas itu, dia tak berani kacau kami lagi. Kalau jumpa kami, dia larikan diri.” Sedikit kenangan dikeluarkan dari kotak memori yang tersemat dengan kemas untuk direnung semula.
Puan Aisyah ketawa kecil. Tidak lama kegembiraan itu berlangsung, kembali keruh wajah Encik Ariff. Puan Aisyah sudah mati kutu untuk menggembirakan suaminya. Kemudian, dia teringat sesuatu.
“Abang bagi apa pada Dan?” diketap bibir bawah, mata merenung mata Encik Ariff. Pandangan mereka bertemu. Encik Ariff menghulurkan senyuman.
“Itu rahsia.” Senyuman masih terhias elok dibibir Encik Ariff.
“Takkan itu pun nak berahsia?” rahang bawahnya terjatuh dan mata menyuluh ke arah Encik Ariff.
“Mestilah. Ni rahsia kami berdua.” Ketawa besar dia melihat wajah Puan Aisyah yang mencuka. Jelingan tanpa dipinta diberikan kepada Encik Ariff. Makin galak suaminya ketawa.
“Abang suka dia ke?” tanya Puan Aisyah. Kini, perlahan dia ketawa.
“Agak-agak kamu?” dia masih mahu bermain dengan isterinya.
“Hish! Manalah saya nak tahu. Hati abang, bukannya hati saya.” Tangan menongkat dagu.
Mata Encik Ariff merenung lembut mata Puan Aisyah.
Dia tersenyum hingga menampakkan gigi. “Abang sukakan dia. Tak tahu kenapa tapi abang suka dia. Pertama kali abang tengok, abang dah sayangkan dia.” Luahnya sambil tangan menyentuh dada.
“Abang ada tengok cara dia renung anak dara kita?” tanya Puan Aisyah. Mulutnya yang merah delima mengigit buku lima tangan.
“Anak dara yang mana satu?” tanya dia setelah kebingungan. Dalam fikirannya sekarang, hanya ada dua orang anak dara.
“Siapa lagi? Rinalah!”
“Rinalah? Anak kita mana ada nama Rinalah! Awak ada anak ke sebelum kahwin dengan saya?” tanya Encik Ariff yang masih dalam kebingungan. Keningnya bercantum kerana hairan. Setahunya Puan Aisyah belum berkahwin dengan sesiapa selain berkahwin dengannya. Tidak pula dia tahu kalau-kalau Puan Aisyah pernah berkahwin sebelum ini.
Puan Aisyah tepuk dahi.
“Anak kita, Sarina. Merepeklah orang tua ni. Saya mana ada kahwin lagi sebelum abang. Abang yang pertama dan terakhir. Cintaku hanya padamu. Satu-satunya. Alahai, takkan dah nyanyuk orang tua ni. Pening, pening,” tergeleng-geleng kepala Puan Aisyah melihat kelaku Encik Ariff yang tiba-tiba jadi bendul semacam.
Mendengar bicara Puan Aisyah yang berupa pengakuan, Encik Ariff tersengih panjang. Sampai ke telinga ditarik tegang kulitnya. Hatinya kembang. Berbunga riang. Rasa mahu melompat macam beruk dapat cermin.
Dia menunjukkan reaksi malu-malu kucing. Hujung jari telunjuk membuat putaran berbentuk bulat diatas meja kaca bulat itu.
“Sayangkan saya?” Mukanya di dekatkan sambil kening naik turun.
“Mulalah nak datang penyakit gatal. Berbalik pada hal tadi, abang nampak tak cara Dan pandang anak dara kita, Sarina?” raut wajahnya beria-ria seronok.
“Yalah. Saya pun perasan. Dia sukakan Rina ke? Malam tadi, yong ada cakap dia terserempak dengan budak berdua tu masa Rina kursus di Putrajaya. Tengah berdating gamaknya.” Terang Encik Ariff kemudian cawannya diambil dan menghirup lalu meletak kembali setelah tekaknya terasa basah.
“Betul ke?” rasa tidak percaya hinggap dalam hati Puan Aisyah.
Encik Ariff hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Alah, abang percayakan Rina. Dia tak akan tergamak nak buat macam tu. Kita sendiri lebih kenal anak kita berbanding orang lain. Pernah ke selama ni dia buat jahat. Tak, kan?” dia menatap wajah Puan Aisyah yang muncung sahaja mulutnya.
Dia menggeleng dan setuju dengan suaminya. Hatinya sedikit berdolak dalik. Namun, diusir cepat-cepat.
“Kalau mereka ada jodohlah, mesti cucu kita comel. Macam ‘omputih’. Hi! Seronoknya. Comel-comel belaka.” Angan Puan Aisyah. Matanya terarah pada langit membiru. Awan bergerak perlahan.
“Cepat sangat berangan dia ni. Mereka pun belum tentu ada apa-apa lagi.”
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa dia ajak Dan seorang datang ke sini?” pertanyaan yang serupa seperti mak yong. Tersentak Encik Ariff. Buat seketika sebelum kembali tenang.
“Manalah saya nak tahu. Macamlah saya ni ahli nujum. Tapi betul juga kata ayang tu. Takkanlah ajak Dan seorang saja.” Dia terangguk-angguk memikir.
“Biarlah. Jangan dia malukan kita sudah. Mana Farisya?” sambungnya kemudian.
“Mana lagi? Dalam biliklah. Dia tengah cuti. Mesej dengan kekasih hatilah tu. Nak tolong kita mengemas, alamatnya tak bergeraklah barang kat dapur tu!” dia menuang lagi minuman ke dalam bekas minuman Encik Ariff.
“Ayang ajelah tolong gerakkan.”
“Banyak cakap pula pak cik ni. Kang ada juga yang basah dengan air ni.”
“Macam berani! Siapa yang di berkenan tu?” masih perihal Farisya.
“Hakim.”
“Budak mana? Kerja apa? Duduk kat mana? Siapa mak ayah dia? Umur berapa?” bertalu-talu soalan Encik Ariff.
“Budak bangsa melayu, kerja advertising, duduk KL, kita tak kenal mak ayah dia, dan rasanya Farisya ada cakap umur dia 23 tahun.”
“Bila nak masuk meminang?” tanya lagi.
“Hish! Abang ni! Manalah saya tahu. Bukannya saya yang mesej dengan Hakim tu. Dahlah, jom pergi kemas dapur. Rimas tengok dapur yang berselerak tu.” Puan Aisyah bersedia hendak bangun.
“Ayang pergilah.”
“Jomlah. Mana saya nak larat angkat barang tu semua. Abang...jomlah...” hujung jari telunjuknya bermain ditelinga Encik Ariff. Dia kegelian. Terteleng ke kanan kepalanya menahan geli.
“Yalah, yalah.”

No comments:

Post a Comment