Saturday, April 3, 2010

bab25

BAB 25
“Selamat hari raya Aidilfitri maaf zahir batin.” Ucap Sarina kepada Anum. Sarina yang berbaju kurung warna hijau tua dan bertudung hitam muda, menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Anum yang berbaju merah hati dan bertudung gaya Siti Nurhaliza.
“Selamat hari raya.” Ringkas saja balasan Anum, kemudian mereka berdua menghenyakkan punggung diatas sofa di depan TV. Baru pagi, mereka yang bersiap untuk ke masjid setengahnya sudah ada di depan menunggu yang lain.
“Bila nak pergi masjidnya?” tanya pak lang. Dia duduk diatas lantai diruang tamu sambil menyandarkan tubuhnya disofa. Kaki terjulur ke depan. Mata memandang ke sana sini.
“Entah. Tanya abang Arifflah.” Sahut pak su yang bertentang dengan abang iparnya tetapi dia duduk diatas sofa.
“Mana pula dia pergi? Orang yang nak jadi kepala rombongan dah hilang?” balas pak lang. Sarina dan Anum hanya mendengar pak lang dan pak su berbual tetapi mata ke arah lain.
“Rina. Mana ayah?” tanya pak lang tatkala matanya menjamah sekujur wajah Sarina diatas sofa. Terus Sarina mengalihkan pandangan dan tertentang mata dengan pak lang kemudian memandang pak su yang merenungnya, silih berganti.
“Entahlah. Ada dalam bilik agaknya. Tengah bersiap rasanya.” Seingatnya, dia ternampak kelibat Encik Ariff di dalam bilik sewaktu melintasi bilik ayah dan ibunya. Tapi, tidak pula dia tahu sekarang Encik Ariff berada.
“Pergi panggil ayah. Cakap nak pergi pukul berapa?” perintah pak su. Ssatina akur.
Dia bangun meninggalkan Anum ditempatnya yang buat muka tidak bersalah. Langkah Sarina menuju ke bilik ibu dan ayahnya. Pintu bilik tertutup rapat.
“Ayah!” katanya sambil mengetuk pintu bilik dengan buku lima tangannya.
“Ya?” ujar Encik Ariff dari dalam. Sarina menyandarkan tubuhnya pada pintu bilik.
“Pak su dengan pak lang tanya, nak pergi masjid pukul berapa?”
“Cakap pukul 8.30 pagi. Kejap ayah datang. Dia orang di mana?” Encik Ariff sikit terjerit agar Sarina mendnegarnya.
“Ada di depan. Dia orang dah siap.” Dipejam kemudian celik matanya. Merenung kosong tombol pintu.
“Yang lain dah siap ke belum?” tanya Encik Ariff.
“Ada yang dah, ada yang belum.”
“Kamu tak pergi ke?” soal Encik Ariff lagi.
“Taklah. Tak boleh.” Bulannya sudah tiba.
“Hmm...tak apalah kalau begitu. Nanti ayah datang.” Encik Ariff masih di dalam bilik, tidak tahu apa yang dibuat, tidak pula kedengaran suara Puan Aisyah.
“Okey.” Terus Sarina berpaling dan hampir berlaga bahu dengan Amir. Terperanjat Sarina dan abangnya, Amir.
“Bagi signallah dulu nak pusing pun. Ini buat U-turn mengejut.” Ngomel Amir dan berlalu dari situ. Sarine mencebik. “Dia yang meluru macam pelesit.” Sarina menjawab. Sambil menjeling tetapi Amir membelakanginya.
Sarina melangkah menuju ke ruang tamu dan melintasi Anum yang memandang sepi pada telefon bimbit miliknya. Ada tunggu panggilan dari sesiapa ke? Lalu Sarina duduk atas kerusi ditepi sofa. Dipandang bapa-bapa saudaranya itu. Dan pandangannya berbalas.
“Ayah cakap pukul 8.30 bertolak. Kejap dia datang.” lembut Sarina menuturnya.
“Ayah kau buat apa? Dia kat mana?” soal pak ngah yang baru saja menghenyak punggung dilantai sebelah pak lang. Dia yang berbaju melayu warna hijau daun pisang, mengusap-ngusap leher. Bedak agaknya.
“Ada kat dalam bilik. Entah buat apa. Pakai baju agaknya. Mana mak ngah? Dia pergi tak?” soal Sarina juga. Pandangan lembut dihantar melalui mata kepada pak ngahnya. “Ada di dapur. Tolong ibu kau buat kerja rasanya. Entah! Tak pula pak ngah tanya dia nak pergi tak. Tapi baju tengok gaya macam nak pergi. Bersolek sakan pak ngah tengok tadi dalam bilik.” Omel pak ngah.
“Siapa lagi ni yang nak pergi?” tanya pak lang. Matanya terarah pada pak ngah. Belum sempat pak ngah memberi jawapan, Sarina sudah menyampuk.
“Yang tinggal dirumah, Rina, Farhani, Paan, Niza dan ibu-ibu yang ada anak kecil.” Kini, pandangan pak lang beralih pada Sarina.
“Jadi banyak jugalah yang pergi. Berapa kereta yang boleh bawak.” Tanya pak lang lagi.
“Bawa ajelah yang mana ada. Sumbat selagi muat. Nasib baik, Rina tak pergi, kalau tak...” sampuk pak su sambil mengusik Sarina. Sarina menjeling. Mereka bertiga ketawa geli hati melihat Sarina yang muncung macam itik.
“Kalau tak apa?” tanya pak ngah. Sengaja dia mahu bertanya.
“Kalau tak, tak cukup nak bawa orang. Tempat duduk dibelakang penuh dengan Rina seorang aje,” jawab pak su tenang. Pak lang dan pak ngah sudah tergelak.
“Mana ada Rina gemuk. Benci tau! Suka sangat sakat orang. Kenapalah dapat pak cik yang suka sakat orang? Macam mana mak su boleh ‘terminat’ dengan pak su entah. Kena ubat guna-guna agaknya. Dahlah. Nak blah dulu ke belakang. Kalau duduk sini buat sakit telinga aje.”
Sejurus itu, Sarina bangkit dari kerusi dan berjalan menuju ke dapur sambil menghentak kaki tanda tidak puas hati.
Dia tahu kalau mereka bertiga bergabung, habislah dia yang keseorangan. Anum pula bukannya nak tolong, tetapi hanya tengok saja sambil tongkat dagu.
“Jaga, jaga. Rasa bergegar pula rumah ni. Nanti retak seribu lantai ni. Jalan baik-baik. Jangan hentak kaki. Tak pasal-pasal gempa bumi pula nanti.” Sempat lagi kata-kata dari pak ngah menyinggah telinganya tika dia melepasi Encik Ariff yang menuju ke ruang tamu.

“Tolong hulurkan pinggan tu Farhani. Nak letak lemang ni dalam tu.”
Jari Sarina menunjuk pada pinggan di hujung meja itu. Sebenarnya, kalau dia bergerak pergi pun akan dapat juga tetapi memandangkan Farhani yang sedang membancuh air, dekat dengan kedudukan pinggan itu, dia menyuruhnya.
“Nah!” Farhani menghulurkan pinggan yang disuruh ambil. Sambut Sarina dengan tangan kanan.
“Pukul berapa dia orang balik?” tanya Farhani. Sekarang dia berpaling ke belakang dan bergerak ke rak yang menempatkan cawan. Diambilnya beberapa biji cawan.
“Dalam pukul 9.40 dia orang baliklah. Kenapa tanya?”
“Saja.” Farhani membawa cawan itu ke dalam dulang yang berisi jag air.
Ekor mata Sarina memandang Farhani yang macam keresahan.
“Baru aje berpisah kejap dah rindu?” Sarina bersuara tiba-tiba. Farhani terpinga-pinga.
“Hah?!”
“Baru berpisah kejap dengan abang sayang dah rindu ke?” ulang Sarina. Saat itu, memerah muka Farhani. Dia malu namun cuba bereaksi tenang seboleh yang mungkin.
“Tak lari ke mana pun Paan tu.” Makin merahlah pipi Farhani. Sarina siap menyediakan lemang. Kemudian, dia membawa pinggan itu ke depan meninggalkan Farhani keseorangan di dapur.
“Mana Farhani?” tanya Nadya semasa Sarina meletakkan pinggan di atas meja diruang tamu. Dia merangkul anaknya yang kecil itu yang sedang lena.
“Ada di belakang. Amboi sedapnya orang tu rileks. Kami berdua di dapur mengisi makanan, dia sedap aje duduk didepan.” Bebel Sarina melihat Nadya yang bersenang lenang.
“Banyaklah kau bersenang lenang. Ini! Kau tak nampak, anak saudara kau yang comel ni tengah tidur? Boleh dia kata kita bersenang lenang.” Balas Nadya.
“Bagi pada Rina. Biar Rina pula yang pegang dia. Akak pergi belakang tolong Farhani pula.” Arah Sarina sambil menghulur tangan untuk menyambut Nafira yang berusia lapan bulan. Anak kedua Nadya bersama Fawwaz.
“Nah! Kau pula jaga. Nanti mengadu pula dengan ibu, kata akak tak buat kerja.” Usik Nadya sambil menghulurkan anaknya pada Sarina. Dia bangun dari kerusi.
“Tolong sikit ya. Rina bukan jenis yang mengadu tau.” Sarina pertahan dirinya.
Sejurus itu, Nadya bergerak ke dapur meninggalkan Sarina keseorangan pula.
“Ala, bucuk bucuk tu...comelnya dia..anak siapa ni...” Sarina bermain dengan Nafira yang terjaga tatkala itu. Terjuih-juih mulut Sarina. Nafira pula memberi respon, mengekek dia ketawa.
“Ada gaya tu.” Komen seseorang. Pantas Sarina mengangkat muka. Kelihatan Nadya dan Farhani disebelah meja. Bila pula mereka berdiri disitu? Tidak langsung Sarina perasan.
“Boleh jadi mak mithali ni...” sampuk Farhani. Sarina membeliakkan mata. Nadya dan Farhani menguntum senyuman dibibir. Geram bertapak dalam hati Sarina.
“Bilalah nak berlangsung ya?” tanya Farhani lagi.
“Eh, tak lambat dah rasanya. Orang dah berpunya sekarang.” sampuk Nadya. Dia memandang Sarina dengan senyuman perli.
“Siapa orangnya? Kita kenal ke?” tanya Farhani. Sibuk betul! Terbeliak matanya terperanjat campur tidak sangka. Sarina tidak berani berkata apa-apa. Takut dia juga yang terkena akhirnya. Jadi lebih andai dia mendiamkan diri.
Geram juga hati dia, namun bersabar sajalah. “Kau mesti kenallah. Tapi kalau nak tengok, kena tunggulah. Nanti adalah yang datang.” Jawab Nadya. Senyuman mengusik masih belum habis. Sekarang dia pula yang merah pipi. Mesti Nadya maksudkan Dan.
“Macam mana orangnya?” sibuk sungguh Farhani ingin tahu.
“Muka orang putih.” Sah! Dan! Berdesing telinga Sarina mendengar.
“Lagi?”
“Badan tegap.” Nadya menunjuk reaksi seperti ahli bina badan yang memperagakan badan mereka. Farhani sudah mahu ketawa melihat wajah Sarina yang macam kena paksa telan buah yang beracun dan gelagat Nadya.
“Lagi?”
“Mata biru.” Farhani ketap bibir bawah lagi kuat.
Sarina panas telinga. “Lagi?”
“Alah, cukuplah tu. Tu hah ada orang yang mukanya macam kena sembelit. Kesian pula menengoknya.” Tika itu, Farhani tidak dapat tahan lagi. Terburai jua gelaknya. Deras pula. Nadya menekup mulut dengan tudungnya. Menahan ketawa.
Sarina pula sudah cemberut wajahnya. Dia yang berada diatas lantai sambil memegang Nafira, terasa hendak baling pingan mangkuk pada Nadya dan Farhani.
Sedang Farhani dan Nadya bergelak sakan, bunyi kereta datang berkumandang diluar. Terus mata mereka bertiga tertala pada tingkap yang terbuka. Sarina tidak nampak kerana dia duduk dibawah, hanya Farhani dan Nadya sahaja yang nampak.
“Mereka dah balik.” Ceria suara Farhani. Nadya dan Sarina memandang pelik.
“Mentang-mentang baru kahwin, pisah sekejap aje dah rindu.” Sarina balas dendam. Sengaja suaranya dileretkan. Dijeling pada Farhani. Nadya tersenyum melihat Sarina yang membalas dendam. Farhani buat muka sombong.
“Mestilah. Nanti kalau kau dah kahwin, kau tahulah macam mana. Jangan cakap sekarang, nanti bila kau dah kena batang hidung sendiri, baru tahu langit tinggi ke rendah.” Balas Farhani sambil meninggikan hidungnya.
“Yang aku tahu langit tinggi.” Jawab Sarina buat muka kucing.
“Asalamualaikum.” Mak ngah beri salam.
“Waalaikumusalam. Masuklah. Jangan malu-malu. Tapi yang tua, duit raya tak adalah.” Sarina buat lawak. Langsung tak kelakar.
Mak ngah yang mendengar, tertawa. Kaki kanannya terlebih dahulu masuk diikuti kaki kiri. Dituruti mak uda dibelakang yang memakai baju rayanya. Mak ngah duduk diatas kerusi lalu melepaskan keluhan lega kerana berada dirumah.
Mak tam mendapatkan Sarina. Punggung dihenyak sebelah Sarina. Tidak semena-mena dia menampar lengan Sarina dengan kuat.
“Aduh! Sakitlah!”
“Selamat hari raya maaf zahir dan batin,” mak tam menyua tangan untuk bersalam. Sarina membalas.
“Ooo...lepas buat orang baru maaf zahir dan batin.” Ucap Sarina.
“Biasalah.” Selamba mak tam menjawab.
“Ramai orang dimasjid?” tanya Sarina. Ahli keluarganya yang lain sudah berada dalam rumah. Dia masih memegang Nafira. Farhani dan Nadya sudah menghilang. Ke dapur agaknya.
“Banyak. Sampai ke luar. Ada yang kena sembahyang dibawah khemah. Nasib baik masjid Sik Dalam tu pasang khemah. Bagus masjid ni. Siap awal awal.” Omel mak ngah. Mak su mengangguk setuju.
“Jomlah ke dapur. Tengok apa ada. Tadi makan sikit aje.” Mak su bangun dan turuti mak ngah dan yang lain-lain. Agaknya lapar sangat.
“Mana Anum?” soal Sarina tetapi kepada siapa yang ditujunya tidak diketahui. Kelibat Anum tidak kelihatan.
“Di dapur. Masuk saja dalam rumah, diserbunya dapur dulu.” Sahut pak uda. Dia memejam mata. Ingin tidur. Letih masak ketupat malam tadi. Kemudian, bersembang sampai pukul 3 pagi. Mananya tidak mengantuk.
“Lapar sangat agaknya.” Sarina berkata.
“Tak. Dia sakit perut katanya.” Perbetul pak uda.
Sarina bangun lalu menyerah pada Fawwaz yang berada diatas kerusi, dan tangannya menyambut huluran itu.
Dia memerhati buat seketika sepupunya yang menonton TV. Tiada kerja lain yang boleh dibuat zaman sekarang. Sudah hilang adat ziarah menziarahi. Angkara teknologi.
“Tak nak pergi berjalan ke? Tak nak duit raya?” Sarina berhenti seketika bertanya pada anak-anak kecil yang menonton televisyen. Tergeleng kepala mereka. Namun mata ke arah televisyen.
Televisyen itu lebih menarik perhatian dari wajah Sarina yang comel kerana rancangan pada musim raya lebih menarik. Menayang cerita movie.
Sarina sambung berjalan menuju ke dapur. Matanya memerhati keliling.Tika dia sampai ke dapur, Anum sedang menjamu lemang bersama kari ayam keseorangan. Sarina cekak pinggang. “Sampai hati tak ajak aku makan. Dahlah aku lapar dari tadi.”
“Siapa suruh kau tak makan tadi? Sepatutnya kau dah makan sebab kau tak pergi masjid tadi.” Anum cuba bersuara tetapi butirannya tidak jelas kerana mulutnya penuh dengan makanan.
“Apa?” didekatkan sedikit telingannya.
“Tak ada apalah.” Sahut Anum sambil menolak kepala Sarina menjauhinya.
“Rina tak makan lagi ke?” tanya mak tam yang kebetulan terdengar Sarina berkata tadi. Mangkuk yang dibawa diletakkan diatas meja yang Anum makan. Berhati-hati dia menuang kuah kari ke dalam mangkuk yang diusungnya dari depan.
“Belum lagi. Tunggu Anum balik dulu, tapi rupa-rupanya dia rembat dulu.” Gurau Sarina. Tidak lama selepas itu, dia turut sekali menjamu selera. Rendang tok dan sedikit lemang menjadi habuannya.
Mak tam sudah lama ke depan. “Kamera kau, mana Rina?” tanya Farhani.
“Ada dalam bilik. Kenapa?” tangan menyuap lemang ke dalam mulut. Perlahan dia mengunyahnya.
“Nak ambil gambarlah.”
“Ada dalam beg aku. Poket tepi.” Tangan Sarina masih menyuap ke mulut. “Aku pergi ambil. Cepat sikit makan. Lepas ni nak ambil gambar pula. Janmgan lambat sangat. Cepat sikit makan tu.” Berkali-kali Farhani mengingatkan Anum dan Sarina. Mereka berdua hanya mengangguk lemah. Makan lebih menarik perhatian mereka. Farhani berjalan pergi, tidak lama, dia patah balik. Farisya yang hanya tahu memegang telefon bimbit mengekori Farhani.
“Jangan lambat.” Farhani pesan sekali lagi. Kali ini dia berjalan terus tanpa menoleh lagi.
“Lepas ni nak pergi mana?” tanya Anum. Dia sudah selesai makan. Dia bangun dan berjalan ke sinki. Basah tangannya kerana dibasuh.
“Pergi mana?” tanya Sarina pula. Soalan berbalas soalan. Dia juga sudah selesai makan. Tapi masih disitu dan tangannya mencapai gelas berisi air mereng(merah+oren) lalu diteguk perlahan.
“Berjalan rayalah. Rasanya nanti kita pergi rumah tok enab. Kau nak ikut?” tempat duduk sebelah Sarina diambil. Tangan kanan diletak atas meja dan mata memandang Sarina.
“Semua ikut ke?” tanya Sarina lalu menuang lagi air mereng itu ke dalam gelasnya. Matanya mengikut gerak arah air itu menurun.
“Semua pergi. Lainlah kalau kau nak duduk dirumah seorang, boleh aje. Tapi kalau ada ‘rakyat jelata’ datang, kau kena layan seoranglah, dan duit raya guna duit kau.”
“Alah, tak adanya budak-budak tu nak datang, dia orang seronok tengok televisyen di rumah. Contoh dah ada.” Muncung mulut Sarina menunjuk pada sepupunya yang masih diparas budak-budak menonton televisyen cerita Senario Episod Satu.
“Itu budak-budak yang otak tak betul sikit. Ini lainlah. Dia orang ni lebih suka duit raya tau.” Tangan Anum mengetuk meja itu. Sedikit bergegar meja yang agak lama usianya.
“Ish! kalau ya pun bersemangat bercerita tu, tak payah nak ketuk-ketuk meja ni. Kalau meja ni jadi handset flip, aku lempar meja ni dalam kereta kau nanti, suruh bawa balik.” Sergah Sarina lalu membulatkan matanya. Anum yang tidak takut turut membeliakkan mata.
Akhir sekali, mereka ketawa bersama. Bergabung gelak tawa mereka.
“Woi! Datang depan. Kami nak bergambar ni.” Jerit seseorang dari arah depan. Segera Sarina menoleh. Anum tidak perlu menoleh kerana dia duduk mengadap arah jeritan Dracula itu.
“Yalah.” Jerit mereka serentak.
“Jomlah.” Ajak Anum.
“Okey.” Seraya itu Sarina bangun.
“Pergilah basuh tangan kau dulu.” Ucap Anum tatkala matanya melihat tangan Sarina yang masih belum dibasuh.
“Aku nak pergi basuhlah ni.” Sarina berbohong. Padahal, dia bangun hendak ke depan terus, tidak langsung dia ingat tangannya masih belum dibasuh. Cover line dan cover malu!
Usai membasuh tangan segera mereka berdua bergerak menuju ke depan. Mereka berjalan beriringan. Sampai sahaja mereka diruang tamu, mereka menjadi perhatian beberapa mata. Yang lain, sibuk dengan aktiviti mereka.
“Okey, sekarang masa untuk bergambar.” Kata Farhani sambil memegang kamera.
Segera mereka ke satu sudut yang boleh memuatkan semua orang. Semuanya berdiri, menunggu untuk susun atur tempat semasa sesi bergambar. Tidak kurang juga yang masih menyuap makanan ke mulut.
“Okey. Semua dah sedia?” tanya Farhani, sambil melihat kesemua mereka sudah berada pada keadaan sedia untuk bergambar. Orang tua yang berpangkat ‘pak cik’ dan ‘mak cik’ duduk diatas kerusi sofa, manakala yang berpangkat ‘anak saudara’ duduk dibawah dan ada juga berdiri dihujung kiri dan kanan ‘pak cik’ dan ‘mak cik’. Kedudukan mereka membentuk satu separuh bulatan atau lebih tepat lagi, suku bulatan. Tapi, ada satu masalah.
“Siapa nak ambil gambar?”
Masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Sambil itu, terjongket bahu. Yang hanya berdiri hanyalah Farhani, tetapi dia juga mahu bergambar. Sementara itu, Sarina berdiri disebelah Encik Ariff yang berada dihujung barisan ‘pak cik’ dan ‘mak cik’.
“Dan tak datang ke? Dia nak datang tak?” tanya Encik Ariff. Pertanyaan itu membuatkan Sarina terkedu. Malam tadi, tidak pula dia mengajak bertanya Dan sama ada hendak atau tidak dia datang. Sarina senyap. Tidak tahu mahu berkata apa.
Dia teringat akan idea yang separuh bernas dari Anum. Namun, sanggupkah dia buat begitu. Encik Ariff berharap benar, akan kedatangan Dan. Tidak Sarina tahu mengatur kata. Encik Ariff masih menanti jawapan dari Sarina yang terdiam.
“Asalamualaikum.” Seseorang dari luar yang tidak tahu asal usulnya, memberi salam. Terus semua mata-mata yang berada dirumah Encik Ariff terpaku pada tingkap yang terbuka disebelah kiri mereka.

No comments:

Post a Comment