Saturday, April 3, 2010

bab27

BAB 27
Dan melabuhkan punggung diatas lantai. Dia menenyeh-nenyeh mata. Terasa sedikit pedih.
“Kamu ke mana Dan?” tanya tok wan yang sedang menggulung rokok daunnya. Dalam keadaan lelah pun masih boleh hendak merokok. Berkali-kali dipesan anak, bini serta cucu tapi buat pekak bin tuli. Memang tidak makan saman!
“Pergi rumah kawan tadi. Lama tak jumpa dia.” Rasa bersalah juga dia kerana merahsiakan hal yang sebenarnya. Bukan tidak mahu bercakap benar, tapi tunggulah sehingga masa yang sesuai. Mata dihalakan ke arah televisyen yang menayangkan cerita Puntianak Harum Sundal Malam. Cantik juga Maya Karin.
“Di mana?” rokok disumbat ke dalam mulut. Kamaruddin berada di dapur bersama adik serta beberapa orang anak saudaranya.
“Di Sik.” Ringkas jawapannya. Diambil remote control dari tangan sepupunya. Tangkas Putera merampas kembali dari abang sepupunya yang sememangnya suka mengusik dan membuli. Namun tidak berjaya kerana Dan berjaya dulu menggenggam dengan kuat.
“Bagilah remote tu. Kacau ajelah. Orang nak tengok tv pun tak senang.” Berkerut wajahnya kerana berusaha mengambil remote itu dari tangan Dan. Dan pula tidak beralah. Turut sama berkelahi. Suka sangat cari pasal dengan Putera. Putera baru berumur lapan tahun. Bukannya keturunan raja pun, tapi ayahnya hendak sangat letak nama Putera di pangkal nama.
“Tengok ajelah. Bukan buat apa pun.” Bidasnya lagi. Putera berusaha lagi dengan lebih. Berguling mereka berdua diatas lantai. Tok wan yang melihat hanya menggeleng.
“Bagilah.” Gerutu Putera.
“Tak nak. Kau budak lagi. Tak sesuai tengok cerita tu.” Tangkis Dan.
“Bagi juga. Peduli apa! Nak tengok juga!” Putera merengus.
“Kalau tak nak bagi, nak buat apa?” tanya Dan. Raut wajahnya turut seperti Putera.
“Nanti bagi tahu dengan pak ngah.” Ugut Putera. Pak ngah ialah ayah Dan. Matanya mencerlun pada Dan. Tajam pandangannya. Dan menjelirkan lidah.
“Bagi tahulah. Kau ingat pak ngah nak buat abang Dan? Sorrylah.” Bidas Dan selamba.
Putera cuba rebut lagi remote dari tangan Dan. Kali ini lebih kuat ragutannya. Dan juga turut menguatkan lagi cengkamannya.
“Tok. Tolonglah! Putera nak tengok tv.” Jerit Putera.
Tok wan buat tidak tahu saja. Malas hendak campur tangan. Tahu sangat dengan perangai Dan yang suka mengusik. Rancangan menarik di televisyen lebih menarik perhatianny. Rokok sentiasa di mulut. Kejap digulung-guling rokok itu. Kemudian, dihembus keluar asap. Berkepul-kepul diudara.
“Jangan bisinglah. Tok wan nak tengok tv ni.” Selamba tok wan berkata. Sedangkan cucunya bergaduhkan remote. Sebelah kaki menongkat dagu.
“Angah! Afif! Tolong aku!” jerit Putera pada dua orang budak yang melintasi mereka. Seorang bertubuh gempal, manakala seorang lagi sedikit kurus badannya. Di kepala ada tanda parut luka terjatuh di tapak permainan semasa dia masih kecil.
Mereka berpaling melihat Putera yang sedang bergelut dengan Dan. Terus mereka menerkam Dan serta Putera. Mereka melompat atas tubuh Dan lalu memukul dengan tangan masing-masing.
“Adoi! Sakitlah! Kamu semua ingat abang Dan ni tilam ke apa?” jerit Dan yang kesakitan namun masih belum mengalah untuk bergaduh dengan mereka.
“Kalau tak nak kena, lepaskan remote ni.” Ugut Angah yang berbadan gempal.
“Kalau tak lepaskan abang Dan, remote tak boleh.” Ugut Dan pula. Ugutannya berkesan apabila mereka berhenti memukul tubuhnya. Syuha, kakak kepada Putera yang berumur 12 tahun, melintasi mereka. Dia memandang sekilas saja, kemudian berlalu pergi ke mana entah! Tidak mereka ambil pusing.
Mereka bertiga saling berpandangan. Kemudian, memandang Dan. “Tak nak. Abang Dan tak boleh dipercayai. Serang!” tempik Angah dengan lantang macam hendak pergi berperang. Macam samseng! Tangan diangkat lalu berdebik-debik memukul Dan. Tetapi apalah sakitnya berbanding badan sasa Dan itu. Dia hanya berpura-pura sakit.
“Adoi! Adoi! Sakitlah.”
“Kalau tak nak sakit, lepas.” Kata Afif pula. Dia yang paling kecil namun kuat juga tumbukkannya.
“Dan!” seseorang panggil dari arah bertentangan. Dan mengalihkan badannya.
“Ya, mak!” jerit Dan. Mereka masih berperang.
Akhirnya, budak bertiga itu memperoleh jua remote itu tika Dan leka memandang Puan Lily yang berdiri sambil menjegilkan biji mata.
“Yes! Dapat juga.” Putera seronok.
“Ha! Abang Dan dah kalah.” Girang mereka bertempik.
Tempikan mereka bertiga tidak dipedulikan Dan. Seronok sebenarnya berperang dengan samseng-samseng jalanan itu.
“Sudah sudahlah tu. Pergi mandi! Dah nak isyak ni. Kau solat maghrib ke tak?”
“Dah.” Dia memejamkan mata.
Mata Puan Lily mencerlun tanda tidak percaya. “Kat mana?”
“Rumah kawan. Kalau tak percaya, telefonlah dia.” Tahu apa yang bersarang dalam hati Puan Lily. Dan yang masih baring lagi memandang mereka bertiga yang sedang seronok menikmati rancangan lain pula. Tok wan pula sudah hilang ke mana entah. Tiba-tiba saja sudah hilang.
“Oi! Budak bertiga! Mak ngah nak tanya ni.”
Seraya itu, budak-budak itu mendongak kepala mereka memandang Puan Lily yang cekak pinggang geram.
“Siapa yang pergi patahkan tengkuk anak ayam di belakang rumah tok? Cakap cepat!”
Jari telunjuk Puan Lily sudah merawang merata. Tidak terkata apa-apa mereka bertiga. Tahu salah sendiri. Masih Puan Lily bertanya walaupun dia tahu siapa punya kerja. Dan memandang mereka bertiga.
“Ayok! Kalau tok tahu, mati kau orang mak ngah kerjakan.” Usik Dan. Lidah dia jelirkan. Makin resah mereka bertiga. Hatinya girang. Selalunya
“Err...” mereka gugup lalu saling berpandangan. Tidak tahu siapa mahu bercakap. Hendak dinafikan, takut kena...
“Ingat mak ngah tak tahu siapa kerjakan anak ayam tu. Sampai mati kau orang buat anak ayam tu. Dipatahriukkan tengkuknya tu kenapa? Macamlah ayam tu ada kacau kau orang.” Bebel Puan Lily sambil masih berdiri.
“Dah tahu kenapa tanya?” selamba Putera berkata. Kata-kata itu mengundang tawa Dan. Dia ketawa besar.
“Menjawab! Karang ada juga yang kena belasah nanti.” Bebel Puan Lily lagi. Senyap terus mereka bertiga. Tidak berani lagi hendak menjawab.
Tidak lama Puan Lily disitu, dia beredar. Melihat ke luar rumah. Dan masih berehat disitu. Dia mengeluh.
“Dan! Kau dah makan ke belum? Dekat nak malam baru nak balik.” Tanya Yusaini, abang ngahnya, yang berada dimuka pintu, sedang membuka selipar. Dia tahu ketibaan adiknya, melihat kereta milik Dan diluar.
“Belum makan lagi. Pergi rumah kawan, lepas tu dia ajak pergi rumah mak saudara dia.” Dia bangkit duduk. Tidak lagi baring. Budak samseng bertiga tadi masih ada disitu.
“Kat mana?” tanya Yusaini ingin tahu.
“Alah, kalau cakap pun abang ngah bukannya tahu. Buat habis air liur aje.”
“Ewahh! Sedapnya mulut mengata. Tak nak cakap sudah. Aku pun malas nak tahu sangat. Saja aje tanya.” Terus dia beredar ke dapur.
Dan mengeluh. “Ngah! Nasi ada tak lagi?” tanya Dan pada Angah. Dia yang masih terpaku pada televisyen hanya menjawab tanpa memandang Dan.
“Ada lagi. Baik pergi sekarang sebelum habis.” Idham yang entah dari mana muncul menjawab. Dia pula yang tolong jawab bagi pihak Angah.
Bingkas Dan bangun dan mengatur langkah menuju ke dapur. Matanya melihat pak ngah Hassan, dan pak teh Mie sedang ‘mentekedarah’ nasi. Dia berdiri dihujung meja. Kehadirannya disedari pak ngah Hassan, yang bertentangan dengan Dan.
“Hah?! Kau makan tak lagi?”
“Belum lagi pak ngah.”
“Kalau macam tu kau tarik kerusi, duduk lepas itu ambil pinggan yang ada depan mata kau tu, kemudian ceduk nasi dan makan.” Arah pak ngah Hassan. Siap beri arahan selanjutnya lagi. Tahu sangat perangai anak saudaranya yang seorang ini, suka sangat makan lewat. Selalunya dia yang paling akhir, sudah makan. Nasib baik ada juga yang masak nasi walaupun hari raya.
Dan menarik kerusi dan melakukan apa yang pak ngah Hassan suruh. Pak teh Mie masih lagi leka dengan nasinya walaupun dia sedar dengan kehadiran Dan. Encik Kamaruddin kemudiannya, datang. Tidak Dan perasan kerana dia membelakangkan Encik Kamaruddin. Susuk tubuh Dan sangat Encik Kamaruddin kenali.
“Bila kau balik Dan? Tak dengar bunyi kereta kau pun.” Dia membuka peti ais lalu mengambil jag air oren. Cawan ditepi peti ais menjadi sasaran tangannya.
“Tadi lagi. Nak kata lama, tak sangat. Punggung pun tak sempat nak panas lagi.”
“Kau berjalan ke mana tadi? Kami ada pergi rumah tok chik tadi. Dia ada cari kau tadi.” Jelas Encik Kamaruddin sambil menuang air oren itu.
“Rumah kawan. Dia sihat ke? Esoklah Dan pergi rumah dia.” Nasi disuap ke mulut.
“Dia sihat. Ah, lupa pula. Dia kirim salam. Jangan lupa pula kau pergi nanti. Mentang-mentanglah baru jumpa awek, dah lupa tok chik kau.” Dan tersedak. Dia terperanjat. Air sejuk di depan mata yang disua pak teh Mie, di teguk rakus. Lega juga sedaknya. Tangan Encik Ariff bermain-main belakang Dan. Mengurut!
Adakah Encik Kamaruddin tahu dia ke mana?
“Makan tu elok-eloklah sikit. Kan dah tersedak. Nanti terlekat tulang, baru tahu. Hai, makan sikit dah tersedak. Orang selalu kata, kalau tersedak tu, tandanya ada orang sebut nama, betul ke?” serkap Encik Kamaruddin. Ingin juga mengorek isi hati Dan, sama ada sudah yang di ‘sirim’kan ke belum.
“Merepeklah ayah ni.” Tangkisnya. Dia cuba bertenang. Padahal hati berdebar. Laju jantungnya berdetak macam hendak bagi lingkup sistem pernafasannya.
“Manalah nak tahu. Ayah ni, dah kempunan nak menerima menantu dari kamu.” Usik Encik Kamaruddin. Dia tersenyum melihat Dan yang menggelabah biawak. Serba tidak kena dibuatnya. Nasi tiba-tiba jadi berpasir.
“Sudahlah tu abang ngah. Kesian pula Mie nengok, abang membuli Dan. Makan pun dah tak lalu. Kenapa Dan? Nasi rasa macam pasir ke?” bela pak teh Mie, namun terselit juga usiknya. Dia tersenyum melihat Dan yang termengkalan.
Lebih kurang sama saja perangai!
Setelah selesai makan sambil kena seksa, dia melangkah bergaya ke bilik tidurnya bersama dengan Hanis, sepupunya. Dihempas badannya diatas katil. Dipejam mata buat seketika bagi menghilangkan penat yang singgah dihatinya. Dia mengeluh perlahan.

“Mana Sarina?” tanya Puan Aisyah yang melilau matanya mencari anak bongsunya, Sarina.
Pakat-pakat juga yang lain mencari. Tunggang terbalik mata mereka mencari. Dan juga turut sama mencari. Tidak kelihatan di mana-mana Sarina. Ketika itu, mereka semua berada diluar. Sedang bersedia untuk bertolak ke rumah tok Enab. Dan sudah berada dekat dengan keretanya. Pintu terbuka dan dia berada disitu menahan pintu.
“Ada. Tukar baju kejap.” Suara Sarina kedengaran dari arah pintu rumah. Mata hitam dan coklat yang ada disitu melihat arah pintu. Semua kehairanan. Kenapa Sarina pakai baju warna ungu pula? Bukankah sebentar tadi berwarna hijau?
Dan terlopong. Diluar kotak fikirannya perkara yang terdedah di depan matanya sekarang. Benar-benar tidak dia sangka.
“Kenapa?” tanya Sarina apabila menyedari mereka memerhatinya. Terjongket keningnya.
“Sejak bila beli baju ungu tu? Tak pernah pula kau cerita, yang kau beli baju kurung warna ungu? Cantik pula aku tengok,” ujar Farisya. Dan sudah tersenyum bangga. Mata Sarina menjamah raut wajah Dan yang bangga tidak sudah!
“Alah, itu pun nak kecoh ke? Dahlah. Nanti lambat pula sampai sana.” Malas Sarina mahu bersoal jawab. Macamlah dia pakai berlian lima juta di tengkuk. Hanya sehelai baju kurung tanya macam dia penjenayah. Terus dia bergerak namun semua kereta sudah penuh. Mahu naik kereta siapa? Masih lagi Sarina bertanya dalam hati walaupun hujung matanya melihat Dan yang terangkat kening sebelah menanti reaksi Sarina.
Sarina buat tidak nampak saja. “Nak naik kereta siapa ni?” tanya Sarina lalu memanjangkan leher memerhati isi kereta yang kosong. Namun hampa.
“Rina naik ajelah kereta Dan.” Saran Puan Aisyah yang faham gelojak hati Dan, setelah merenung anak mata si bujang itu.
“Anum ikut Rina!” suaranya lebih berupa arahan walaupun sebenarnya permintaan. Direnung mata Anum. Menghantar mesej meminta pertolongan.
“Maaflah ya. Aku dah ada kenderaan tumpang untuk dinaiki. Drebar dah tunggu.” Ucap Anum selamba.
“Masa bila aku jadi drebar kau ni? Cekadak betul. Aku halau keluar baru tahu.” Fawwaz seloroh. Isteri kesayangannya, Nadya sudah menempah tempat duduk sebelah pemandu. Anum menumpang kereta Fawwaz. Anum hanya menjeling.
“Alah, naik ajelah. Nanti macam kau, cakaplah. Lambat sampai pula.” Anum memulang paku buah keras. Senyap terus Sarina. Terpukul dengan kata-katanya sendiri.
Tanpa menunggu lebih lama, terpaksa juga Sarina naik kereta Dan setelah melihat mata Puan Aisyah yang sudah terjegil luas. Encik Ariff hanya tersengih dalam keretanya. Tahu sangat perangai anaknya itu yang culas, dan jual mahal. Suka sangat main tarik tali.
Dan tersenyum senang. Dapat dia melihat dengan Sarina lebih mendalam kerana hanya mereka berdua dalam kereta Dan. Payah juga hendak memikat Sarina rupa-rupanya berbanding di sekolah menengah dahulu. Agaknya peningkatan umur merubah pemikiran. Tapi, makin Dan suka untuk bermain tarik tali. Makin dekat, makin payah!

“Apa yang kau menungkan tu? Dipandang siling yang kosong tu macam nak tembus, kenapa? Ada yang mengganggu fikiran kau ke?” tanya Hanis. Jejaka hitam manis itu bersuara. Cermin matanya dibetulkan kedudukan.
Jejaka berbadan besar itu, melabuhkan punggung diatas katil sebelah Dan yang tatkala sedang mengelamun tadi telah baring. Berbunyi katil usang itu tatkala dia melabuhkan punggung.
“Tak ada apalah. Kenapa? Salah ke?” Dan merenung tepat anak mata Hanis yang berwarna hitam.
“Tak salah tapi aku nak tahu jugalah, perkara yang kau mengelamun itu.” Hanis bersuara lembut.
“Tak ada yang penting pun. Kau pergi mana tadi? Tak pula aku nampak kau masa balik tadi.” Dan mengalih tajuk. Takut Hanis terus-terusan bertanya. Jejaka itu pandai membelitkan kata-kata sampaikan tidak sedar rahsia sudah terbongkar.
“Aku ada di belakang. Tengah tengok dia orang bakar ayam.”
“Bakar ayam?” Dan tidak mengerti.
“Malam nikan ada buat BBQ. Pak su yang nak sangat buat. Kalau dia balik sini, memang selalu dia buat. Bukannya kau tak kenal dengan perangai pak su, yang suka buat BBQ kalau balik sini. Dirumah dia di Melaka, tak pula teringin nak buat.”
Panjang lebar penjelasan Hanis. Patutlah Dan berasa rumah itu sedikit sunyi semasa dia pulang. Rupa-rupanya hampir semua dibelakang rumah. Dan terangguk lalu mengeluh. Keluhan itu menyapa telinga Hanis, lalu berpaling memerhati Dan.
“Tadi ada orang yang cari kau.” Suara Hanis memecah suasana yang hening sebentar tadi. Terkutik jua hati Dan. Dipandang Hanis yang tersenyum. Terdetik jua disudut hatinya.
“Siapa pula?” dia menegakkan badannya.
“Rosnida.”
“Apa pula gadis melayu terakhir tu nak?” jolokan ‘gadis melayu terakhir’ diberi memandang Rosnida yang suka berkain batik dan berbaju kurung Kedah.
“Saja nak tengok kau. Lama tak jumpa dengan kau katanya. Makin cantik pula aku tengok dia sekarang. Gebu pipi dia. Alis mata, fuh!!! Cantik.” Luah Hanis yang tertunduk memandang lantai, tetapi otak memikirkan gadis yang dilihatnya siang tadi.
Terlayar wajah gadis itu di matanya. Jantungnya tersentap dan kaku tatkala melihat Rosnida siang tadi. Ternganga mulutnya. Dan melihat Hanis setelah telinganya menangkap ayat-ayat cinta dari mulut Hanis.
“Kau ni biar betul!” sergah Dan. Hanis terperanjat. Dia menyiku dada Dan. Terasa sakit dada Dan.
“Adoi! Sakitlah!” ujar Dan dalam sakit di dada. Erangannya buat Hanis rasa bersalah. Dan memegang dadanya.
“Siapa suruh kau buat aku terkejut. Kan dah kena penangannya. Lain kali buatlah lagi. Boleh aku belasah kau teruk lagi.” Bidas Hanis setelah rasa belasnya diatasi.
Dan disebelah, dipandang. “Yang kau tu, kenapa beria-ria sungguh cerita pasal Rosnida tu? Kau minat dia ek?” serkap Dan. Kening sebelah terjongket sambil memandang Hanis.
“Tak adalah...” meleret suara Hanis menafi. Dan sudah mengatur senyuman. Hanis malu-malu gajah. Senyuman terhias molek dibibirnya.
“Eleh, malu-malu konon. Cakap ajelah kau minat dia. Bukannya berdosa pun. Kau suka dia ek?” Dan bertanya lagi.
“Alah, aku malulah nak cakap. Kalau aku suka pun, macamlah dia nak kat aku. Dahlah tak kacak macam kau.” Hanis rendah diri. Sudahlah dia rendah! Terpamer kecewa diwajahnya, memikirkan kemungkinan itu.
Kesian pula Dan melihat. “Hanis! Kau jangan nak mengarut! Kacak atau tidak kacak, itu bukan perkara yang penting. Hati yang baik dan cinta yang suci yang lebih penting. Kita perlu yakin dengan diri kita sendiri. Jangan hanya kerana kita berasakan diri kita tidak elok, terus anggap saham jatuh. Jangan! Kadang-kadang orang yang tak kacak, lebih bernilai harganya kerana miliki hati yang baik.”
Hanis terdiam.
“Keyakinan yang tinggi kadang-kadang boleh memikat hati seorang wanita. Keberanian yang ada dalam diri boleh menyangkutkan hati wanita pada kita. Kacak itu merupakan bonus saja. Bukan ada apa nilai sangat. Kalau muka saja kacak tapi hati macam kerang busuk, tetap tak berguna.”
Hanis terdiam lagi.
“Kalau kita cintakan seseorang, kita perlu berani berhadapan dengan cinta itu. Jangan mengalah. Manalah nak tahu, tup tup, dia sukakan kau. Mungkin macam tu. Cinta yang suci dan sejati serta kejujuran, aset yang penting dalam sesebuah perhubungan percintaan. Cinta paksa, tidak akan menjamin kebahagiaan. Mungkin ada juga yang bahagia, tapi boleh kira dengan jari.” Suara Dan lembut menyapa telinga Hanis. Lagak seperti seorang penceramah cinta a.k.a. doktor cinta. Dia terduduk membisu.
“Tapi...”
“Tak ada tapi-tapi.” Dan mencelah sebelum Hanis belum sempat menyempurnakan ayatnya.
“Kau perlu cuba. Umur kau pun, dah makin menginjak. Aku tahu, kau suka dengan dia sebenarnya kan?” Dan tayang gigi.
Hanis perlahan-lahan mengangguk kemudian mengeluh macam menanggung masalah dunia. Dia runsing memikirkan reaksi Rosnida andai dia meluahkan rasa hatinya. Sanggupkah Rosnida hidup bersama dengan dia, walaupun kerjanya hanyalah seorang kerani sekolah? Mampukah dia membahagiakan Rosnida? Adakah Rosnida memcintainya juga sebagaimana dia mencintai Rosnida?
Soalan itu terus-menerus menggasak kepalanya. Dia mengeluh lemah. Dan menepuk belakang Hanis lembut, memberi semangat.

No comments:

Post a Comment