Saturday, April 3, 2010

bab13

BAB 13
Sarina membuka tudung warna hitam yang dipakainya tadi. Baru terasa kepalanya boleh ‘bernafas’. Dia melempar badannya diatas katil. Dipejam matanya ingin berehat. Walaupun, bukannya dia yang pandu kereta itu, tetapi keletihan kerana bercuti. Tangannya memicit kepalanya. Terasa agak pening.
Sedang dia enak memicit kepala, tiba-tiba tombol pintu berbunyi menandakan ada orang membuka pintu biliknya. Segera dicapai tudungnya kembali dan memakainya. Senget tudungnya. Pandangannya tertaut pada muka pintu. Terjengul kepala Puan Aisyah. Dia tersenyum. Sarina lega. Tangannya kembali menarik tudung dari kepala.
“Ibu! Ingatkan siapa tadi. Masuklah.” Jemput Sarina. Tangannya menggamit Puan Aisyah. Pintu ditutup dan langkah diatur menuju ke arah Sarina yang duduk dibirai katil.
“Siapa yang kau bawa tu?” juara kepoh se-Malaysia sudah datang melakukan kerjanya. Punggung dihenyak sebelah Sarina. Kalau sesiapa ada kenduri, hebah saja pada Puan Aisyah. Tidak sampai lima minit, satu taman dah tahu.
“Err...” jenuh juga otak Sarina memikirkan status apa yang ingin diberikan pada Dan.
“Kawan.” Pendek sahaja kata Sarina. Dia tersengih-sengih apabila dipandang curiga Puan Aisyah.
“Betul ke? Jumpa kat mana? Macam mana boleh Rina usung dia sekali?” Puan Aisyah mahukan penjelasan. Dia yang ternampak kelibat seorang lelaki bersama Sarina terus tertanya-tanya. Matanya kerap kali mengekor lelaki itu. Mahu menilik sesuatu. Dirasakan Puan Aisyah, seperti pernah melihat lelaki itu.
“Masa bila Rina usung dia?” Sarina cuba berseloroh. Tidak disambut Puan Aisyah. Selalunya Puan Aisyah akan bergelak sekali dengan Sarina. Agak memaksa pandangan Puan Aisyah kepada Sarina.
“Rina jumpa dia masa di Langkawi. Dia ada sekali masa reunion tu.” Masih sedikit berselindung dengan perkara yang sebenarnya.
Puan Aisyah terangguk sambil memandang lantai. Tidak lagi memandang Sarina. Mungkin sudah cukup penjelasan yang Sarina berikan.
“Tapi ibu rasa macam pernah jumpa dia, tapi kat mana ya?” kepala Puan Aisyah terangguk-angguk memikirkan dimana dia pernah berjumpa dengan Dan. Sarina terkedu. Sesak dadanya. Desah nafasnya menjadi tidak sekata. Semput dibuatnya.
“Ah, ibu dah lupalah agaknya. Tak kisahlah. Malam nanti ada orang nak datang.”
Sarina dahi berkerut dan kening bercantum memandang Puan Aisyah.
“Memanglah orang nak datang, dah ada kenduri rumah kita malam ni. Apalah ibu ni.”
Puan Aisyah tepuk dahi.
“Silap cakap. Malam nanti Hafiz akan datang.”
“Siapa nak coming soon? Hafiz? Siapa pula dia tu? Apa kena mengena pula dengan Rina? Kenap nak datang?” bertingkat-tingkat soalan Sarina. Puan Aisyah menarik nafas panjang.
“Hafiz orang yang nak ibu kenalkan pada Rina. Anak kawan ibu. Orangnya baik. Kerja elok. Ada rupa. Hormati orang tua. Kuat beragama. Rajin.” Senafas sahaja Puan Aisyah menerangkannya pada Sarina.
“Ibu! Rina tak naklah. Kan Rina dah bagitahu hari tu. Rina tak sukalah orang jodohkan Rina. Kalau boleh Rina nak perkara tu jadi macam itu saja. Bukannya orang tolong aturkan. Rina tak sukalah ibu.”
“Kenapa pula tak suka? Bagi sepuluh sebab.” Desak Puan Aisyah dengan nada tinggi.
“Alah bagi satu pun dah cukup. Nak buat apa banyak-banyak. Bukan boleh buat lauk pun.” Sampuk Hidayah. Puan Aisyah dan Sarina menoleh ke arah pintu. Hidayah berdiri membelakangkan pintu yang tertutup sambil tersenyum. Entah bila dia masuk tidak disedari Puan Aisyah dan Sarina. Sarina terasa lega sedikit apabila ada juga orang yang mahu menyokongnya.
“Jangan menyampuklah.”
“Hah?! Cepat bagi satu alasan.” Desak Hidayah tanpa hiraukan pandangan tajam Puan Aisyah. Namun, cuma sebentar sebelum kalih pandangannya ke arah Sarina. Semput juga dada Sarina.
“Sebab...sebab macam Rina ni dah terdesak. Nanti orang ingat Rina kemaruk sangat nak berlaki.” Akhirnya idea itu juga yang muncul. Banyak sangat baca buku novel sampai pinjam ayat novel yang dia baca.
“Alah peduli apa orang cakap. Berapa kerat saja orang yang tahu.”
“Yang ibu pergi kerat dia orang tu apasal? Nanti tetamu yang lain datang kenduri rumah kita, pakat lari lintang pukang. Takut sebab ada hantu sekerat badan datang.” Hidayah buat lawak. Sarina tidak paham. Lama-lama kelamaan dia mula faham apa yang dimaksudkan dengan kakaknya, Hidayah. Berdekah-dekah Sarina ketawa. Puan Aisyah yang memang faham dari awal, menjegilkan mata.
“Berbalik hal tadi. Memanglah berapa orang saja yang tahu tapi dah buat Rina rasa macam terdesak. Rina pun muda lagi.”
“Hish! Susah betul bercakap dengan orang terlebih pandai ni. Ibu tak peduli. Rina kena juga jumpa dengan dia. Ibu dah cakap dengan mak dia dah.” Masih membulat mata Puan Aisyah.
“Yang ibu pergi cakap dengan mak dia tu siapa suruh? Dahlah tak berbincang dengan Rina lagi.”
Hidayah masih menjadi pendengar yang setia. Dia berpeluk tubuh.
“Kalau berbincang dengan Rina, confirm tak setuju! Buat habis air liur aje berbincang.”
“Diam!” sergah Puan Aisyah sebelum Hidayah sempat berkata apa-apa. Hidayah sudah membuka mulut mahu berkata sesuatu. Terkebil-kebil Hidayah memandang Puan Aisyah sambil mulutnya belum terkatup. Puan Aisyah tahu sangat dengan perangai Hidayah yang loyar buruk.
Sarina tidak berkata apa-apa lagi. Mulutnya terkunci rapat. Masing-masing diam. Hanya kedengaran suara adik-beradik yang lain serta jiran tetangga bising sambil membuat kerja.
“Syah!” seseorang menjerit dari arah luar.
“Apa?” jerit Puan Aisyah pula.
“Datang kejap!” jeritan dari arah luar membalas.
“Ibu keluar dulu. Jangan lupa malam nanti pakai baju cantik-cantik. Hidayah!” sekarang Hidayah pula menjadi sasaran. Dia bangkit dari katil dan menuju ke arah Hidayah.
“Ya, ibuku terchenta.” Balas Hidayah selamba. Tunjuk muka toya dia.
“Nanti mekap Rina cantik-cantik. Biar semua terbeliak biji mata tengok Rina.” Arah Puan Aisyah.
“Ya, Puan!” Hidayah membuat tabik hormat. Puan Aisyah menampar lengan Hidayah.
“Tak sakit puan.” Hidayah bersuara selamba dan tunjuk muka tak bersalah namun Puan Aisyah tidak mendengar dan melihat lagi. Jika dengar pasti dia akan membalas kembali atau menampar lengan Hidayah dengan lebih kuat. Sarina sudah ketawa lalu menekup mulut. Tak mahu orang luar dengar.
Hidayah berjalan ke arah Sarina. Matanya mencerlun ke arah Sarina. Sarina mula menggelabah. Dia tahu ada sesuatu yang ingin Hidayah terjah. Dihenyak punggung diatas katil dan sebelah Sarina. Pandangan Hidayah berbalas.
“Adik dah ada punya kan?” serkap Hidayah. Terangkat kening sebelah kiri menanti jawapan dari Sarina. Terkedu lidah Sarina. Bungkam dibuatnya. Fikirnya, Hidayah memang seorang yang dapat membaca seseorang. Memang cekap dalam soal meneliti orang. Tambahan pula, bab-bab bercinta ni. Orang dah kahwinlah katakan.
“Err...” Sarina gugup. Duduknya mula tidak selesa. Beralih ke kiri berasa pelik, beralih kanan berasa serba tidak kena. Baru dia perasan, katilnya itu, jika duduk akan tenggelam. Kuasa spring dah tiada.
“Kenapa? Katil tak selesa ke yang terkalih kiri, terkalih kanan?” Hidayah memang pandai membaca fikiran orang.
“Eh, taklah. Rasa macam ada benda bawah ni?” Sarina masih berdalih dan ingin cuba ubah topik.
“Ada benda apa? Seseorang?” sengaja Hidayah meleretkan perkataan yang terakhir agar Sarina tahu dia mengetahui apa yang Sarina cuba lakukan. Sarina kaku. Matanya dilarikan agar tidak bertembung dengan Hidayah.
“Sudahlah adik. Macamlah akak tak kenal dengan adik. Lelaki kat luar ada punya ehem...ehem kan?” akhirnya Hidayah melontarkan apa yang dia mahu katakan. Dia tahu cara Sarina memandang Dan. Tidak berkelip dan penuh perasaan. Begitu juga pandangan Dan terhadap Sarina. Masing-masing menyimpan rasa yang sukar untuk diungkapkan.
“Mana akak tahu?” Sarina bersuara.
“Maknanya adik dah berpunyalah?”
Sarina mengangguk perlahan. Hidayah merenung adiknya dengan rasa kasih sayang.
“Cara adik pandang dia pun akak dah tahu.” Sambung Hidayah sambil memeluk bahu Sarina.
“Takkanlah?” Sarina masih juga mahu berdalih walaupun sudah mengaku.
“Betul! Kalau tak percaya nanti akak rakam babak-babak cintun kau orang nanti. Akak akan cuba rakamkan.” Lawak Hidayah. Lawaknya menjadi apabila Sarina mengukir senyum lalu tergelak kecil.
“Akak ni.” Desahnya perlahan.
“Kalau adik suka dia jangan lepaskan. Akak pun sukakan dia. Segak! Dah besar rupanya anak pak cik Kamaruddin.” Hidayah menanti reaksi Sarina.
Terus berubah wajah Sarina. Terkejut dengan kata yang diucapkan oleh Hidayah. Membulat sahaja matanya. Sangkanya tiada siapa akan tahu Dan adalah anak pak cik Kamaruddin.
“Macam...”
“Macam mana akak tahu?” potong Hidayah.
Terangguk-angguk kepala Sarina.
“Akak kenal dia dah lama. Takkanlah akak dah lupakan dia. Dialah yang selalu tolong akak dalam pelajaran.”
“Jadi maknanya yang akak pergi tuition dulu tu dengan dialah?” melayang-layang jari Sarina ke udara membuat pelbagai rutin gimnastik.
“Ya.” Senget mulut Hidayah.
“Akak jangan bagitahu siapa-siapa pun ya?”
“Okey.”

No comments:

Post a Comment