Saturday, April 3, 2010

bab14

BAB 14
Malam itu Encik Ariff memakai kain pelikat yang dihadiahkan oleh Dan. Padan pula dengan baju yang ingin dipakai Encik Ariff. Ungu! Dia yang masih menilik diri di hadapan cermin tersenyum puas. Terangguk-angguk seronok. Berseri senyumannya.
Puan Aisyah yang masuk ke dalam bilik sambil membawa baju yang sudah kering untuk dibawa masuk ke dalam almari, terus matanya menangkap tubuh Encik Ariff yang asyik berpusing seperti seorang model tua buang tabiat. Tergeleng-geleng kepala Puan Aisyah melihat kelaku Encik Ariff.
“Amboi cantik awak malam ni! Macam model majalah maskulin.” Puji Puan Aisyah. Dalam pada masa yang sama turut menyindir.
“Awak jangan menyibuklah. Saya tengah mencuba kain pelikat yang Dan belikan. Cantik! Menarik citarasa dia.”
“Siapa pula Dan?” berkerut dahi Puan Aisyah. Setahunya tiada ahli keluarganya mahupun Encik Ariff yang bernama Dan.
“Alah, kawan si Rina.” Jawab Encik Ariff yang masih berdiri di depan cermin. Masih tidak puas hati menilik dirinya.
“Oh,” muncung sahaja mulut Puan Aisyah.
“Dia pun ada belikan baju untuk awak.” Bersuara Encik Ariff secara tiba-tiba.
“Ada juga? Mana?” Puan Aisyah terus minat.
“Ada atas katil. Cantik juga. Saya rasa awak pun akan minat.”
Puan Aisyah terus memandang katil. Kerja membawa masuk baju ke dalam almari yang tinggal separuh terus ditinggal. Plastik hitam berisi baju di buka.
Terjegil matanya. Dibawa keluar isi plastik itu.
“Baju ni yang saya cari tu! Cantiknya! Ah, saya pakai baju nilah malam ni.” Puan Aisyah menarik tinggi baju kurung yang dihadiahkan Dan. Dibawa baju itu ke cermin. Puan Aisyah menolak suaminya dengan bahu. Encik Ariff terdorong ke tepi sedikit. Dia memandang isterinya. Puan Aisyah menayangkan baju ke badannya.
“Padan!” komennya sambil meniru gaya model berjalan. Sepadan pula dengan baju yang ingin dipakai Encik Ariff.
“Gila apa minah ni?” getus Encik Ariff. Bibir atasnya separuh bergulung.
“Minah ni juga isteri abang.” Masih menayang baju pada tubuhnya. Suka benar!
“Macam manalah aku boleh sayang dengan minah ni.”
Encik Ariff menolak kembali isterinya. Tetapi Puan Aisyah sudah bersedia. Mereka saling menolak menggunakan bahu.
“Tepilah.” Gumam Encik Ariff.
“Awaklah tepi.” Berkerut muka Puan Aisyah seperti menahan sesuatu yang menyakitkan.
“Awaklah tepi.” Diketap bibir bawahnya. Bibir atas pula makin meninggi.
“Awaklah yang tepi.” Puan Aisyah masih belum mahu mengalah. Sedaya upaya menahan tolakan Encik Ariff.
“Ibu! Ayah!” pergaduhan mereka diganggu apabila Farhan membuka pintu. Pandangan Farhan tertacap pada ibu dan ayahnya yang berebut cermin. Encik Ariff dan Puan Aisyah berhenti menolak antara satu sama lain. Bola mata mereka bergerak memandang pintu. Terjengul kepala Farhan, menantu mereka.
“Ya. Ada apa?” serentak mereka bertanya.
Puan Aisyah menoleh memandang suaminya.
“Ish, sibuklah awak ni.”
“Awak tu yang sibuk.”
“Awak!”
“Awak!” mereka bergaduh lagi.
“Okey! Teruskan bergaduh, nanti keluar. Ada tetamu nak datang nanti.” Farhan terus menutup pintu. Kata-kata Farhan tidak menarik perhatian mereka.
“Awak!”
“Awak!”
“Awak!” suami isteri itu masih bergaduh.

Pandangan Dan dan Sarina bertaut. Mereka diluar rumah. Sanak-saudara yang lain sibuk mengatur menu. Mereka berdiri sebelah menyebelah. Sarina asyik bermain dengan hujung jarinya. Dia segan. Dan pula menyeluk saku baju melayunya.
“Awak nampak cantik sangat malam ni,” pengakuan ikhlas Dan membuatkan Sarina yang berbaju kurung pahang warna peach tersipu-sipu malu. Merah pipinya.
“Awak pun apa kurangnya. Segak sangat! Macam Shah Rukh Khan pakai baju melayu.”
“Ya ke? Alah, biasa aje. Baju raya tahun lepas punya. Mak yang tolong buatkan.” Kembang kuncup hidung Dan. Dia memandang dirinya dari bawah ke atas. Dia rasakan seperti biasa sahaja. Hanya berbaju melayu dan berkain pelikat berwarna peach. Peach! Pakaian mereka sedondon.
“Yelah! Kacak apa pakai baju warna peach. Sesuai dengan kulit awak. Betul ke mak awak buat? Pandai dia jahit.” Dipegang baju Dan itu untuk merasa kain jenis apa.
“Tengoklah mak siapa? Anaknya siapa?” bangga Dan. Sarina mencebik lalu melepaskan baju Dan.
“Perasan! Ingat awak seorang aje anak mak cik Lily? Suka sangat perasan. Cakap sikit, dia pula yang over. Selalu lebih kuah dari sudu. Saya puji mak cik Lily, bukan puji awak.” Jeling Sarina. Tangannya bersilang di dada.
“Jelinglah selalu. Suka saya tengok. Nampak comel sangat. Alah, mak cik Lily tu mak saya juga. Bukannya orang lain pun. Dan tak lama lagi, mak mentua.” Usik Dan sambil berbisik ditelinga Sarina. Hatinya bahagia dan berbunga riang. Rasa macam nak terkam Sarina dan bawa jumpa tok kadi. Tok kadi tidur, gerak saja. Susah apa! Sarina menahan dari tersenyum. Ditahan senyumannya. Dia mengalihkan pandangan dari mata Dan. Tidak mahu Dan tahu dia nak ketawa.
“Sebelum ni tak pernah nampak awak pakai mekap macam pengantin. Tiba-tiba macam kuntilanak. Putih semacam!” Sambung Dan. Dia berasa pelik dengan penampilan Sarina pada malam itu. Rupa-rupanya dia memakai mekap.
“Ewahh! Siapa kuntilanak? Awaklah bapa kuntilanak! Maknanya sebelum ni saya tak cantiklah ya. Bila dah pakai mekap baru cantiklah? Sebelum ni pun pakai mekap juga. Tapi, yang basic aje. Malaslah nak mekap pakai mekap yang berkati-kati tepuk gomak. Nanti orang tengok pelik pula pasal apa pakai mekap setebal empat inci. Pocong ke apa?” Dan ketawa.
“Bukan pocong. Kuntilanak! Tak pernah pula saya dengar ada mekap yang berinti tepung gomak. Dasyat! Dasyat!” tergeleng-geleng kepala Dan.
“Halo! Kuntilanak tak cantiklah. Dia orang ada tercalit gincu kat mata dan sekeliling mulut tau. Agaknya masa tengah mekap, ada yang buat suprise. So, terkejut badaklah! Prapp!!! Tertarik ke hujung mulut. Habis comot. Tapi, tak sapu balik pula tu. Tu yang pelik. Bagi dia orang cantiklah kot.” Dan bertambah ketawanya. Suka dengan perangai Sarina yang merepek. Tanpa mereka sedari, gelagat mereka diperhatikan seseorang.
“Hoi! Jadi-jadilah tu dengan adegan ‘yang mana satu idaman kalbu’. Mari sini tolong akak, Rina.” Farisya sudah bercekak pinggang dimuka pintu. Tawa Dan mati disitu. Orang lain yang menonton tersengih-sengih kemudian kembali membuat kerja masing-masing. Kemudian, berlalu pergi bawah khemah. Menyusun apa yang patut.
Mereka terasa darah merah menyerbu naik ke muka. Malu! Pakat-pakat tersengih. Sengihan Dan menampakkan lesung pipitnya. Sarina terpaku melihat sesuatu yang cacat. Tetapi, cacat yang manis. Baru Sarina perasan akan lesung pipit dipipi Dan. Mereka saling berpandangan tanpa berkelip.
“Hoi! Cukuplah tu! Mari sini!” Farisya melambai-lambai ke arah Sarina yang tersentak. Segera Sarina berlalu dari situ dan menuju ke bawah khemah untuk menyertai Farisya. Pemergiannya disoroti kerlingan Dan. Kedua-kedua belah tangannya rapat.
Tepukan dibahu menyentakkan Dan dari memandang Sarina yang berlalu pergi. Dia menoleh. Encik Ariff memandang sambil tersenyum. Tersentap Dan melihat siapa yang menepuk bahunya. Bebola matanya bergerak dari bawah ke atas. Melihat Encik Ariff. Dia memakai kain pelikat yang Dan beri. Kembang juga hati Dan. Pemberiannya dihargai.
“Dah siap?” Encik Ariff cuba beramah walaupun sudah terang lagi bersuluh Dan sudah bersiap.
“Dah. Segak pak cik malam ni. Ada apa-apa ke?” seloroh Dan. Mulutnya mengatur senyuman.
“Hish! Kamu ni. Pak cik macam biasa saja. Bukan ada apa-apa pun. Tapi...” dia mendekatkan wajahnya. Dan pula memberi respon dengan mendekatkan telingannya dengan bibir Encik Ariff.
“Tak tahulah kan kalau mak cik kamu bagi. Pak cik on aje.” Bisiknya ditelinga Dan sambil tersengih suka. Ketawa besar Dan dibuatnya. Orang yang lalu lalang disebelah mereka melihat Dan yang tertawa.
“Apa on on?” sergah Puan Aisyah. Membulat sahaja matanya.
Encik Ariff yang terkejut segera berkalih. Dan menekup mulut, sedang menahan ketawanya. Takut terburai. Encik Ariff buat muka takut isteri. Macam ternampak hantu mata bulat versi cantik.
“Eh, ayang! Bila berdiri kat belakang abang? Dah lama sampai?” suaranya seperti orang baru kena culik. Gagap! Mulutnya sengaja disengetkan seperti seorang lelaki yang suka bergosip a.k.a. mulut kepoh.
“Amboi! Amboi! Amboi! Gatal awak ye. Orang lain ada kerja nak buat, awak relaks aje berdiri kat sini nak cari yang lain. Saya pun awak tak larat nak jaga. Ada hati nak tambah cawangan syarikat yang lain. Tanya saya macamlah saya pergi jauh. Dah lama sampai? Ni hah baru sampai!” Telinga Encik Ariff kena piat!
“Eh, taklah yang. Abang gurau aje. Ala, bukannya ayang tak tau abang ni,” telinganya masih kena piat. Mata-mata yang lain memandang mereka dengan rasa geli hati. Mereka sudah maklum dengan perangai suami isteri itu yang memang seperti itu. Gurau senda dalam perkahwinan!
“Tau apa? Sudah! Jom ikut saya ke belakang. Abang kena denda malam ni. Ikut saya!” Puan Aisyah menarik telinga Encik Ariff dan mengikutnya sahaja. Tersenget-senget dia mengikut isterinya. Mukanya menunjukkan riak sakit. Dan ketawa tetapi berusaha menyembunyikannya.
“Lawa baju ibu ayah. Beli kat mana?” sapa Nadya semasa melintasinya di pintu.
“Dan beli untuk kami.” Sempat lagi menjawab sambil menonong pergi bersama Encik Ariff yang kena piat telinga.
“Dan! Tolong abang Amir kejap barang ni.” Panggil Amir yang berada dipintu pagar. Dan menoleh. Amir melambai Dan.
“Okey!” sejurus itu Dan terus berlari-lari anak ke arah Amir.
“Boleh ke?” Amir sedikit ragu.
“Boleh!”
Di angkat kotak yang berat itu. Dia hanya mengangkatnya seorang diri sambil diperhatikan oleh Sarina dibawah khemah. Tangannya menyusun pinggan diatas meja. Mata menatap Dan, tangan melakukan kerja lain. Gelagat Sarina diperhatikan oleh Farisya.
“Tak puas lagi ke merenung tadi?”
Sarina tersentak.
“Hah?! Apa?”

No comments:

Post a Comment