Saturday, April 3, 2010

bab38

BAB 38
Sarina merenung jam di dinding. Dia mengeluh. Perutnya bernada rock campur balada, kerana dia belum sempat bersarapan pagi tadi. Kalut benar dia pagi tadi kerana bangun lambat. Rasa nak sepak saja jam yang telah disetkan masanya tetapi tidak berfungsi. Tak boleh diharap! Harapkan pagar, pagar makan padi!
Mursyi yang melihat kelakuan Sarina bertanya. “Kamu ni kenapa, Rina? Ada yang tak kena ke?” kerutan di dahi menjadi sasaran mata Sarina.
“Tak ada apalah. Cuma perut dah berkeroncong ‘isilah nasi’.” Sarina berseloroh. Lagi setengah jam hendak waktu rehat. Naik mampus dia kalau menunggu masa rehat.
“Kamu tak sempat sarapan ke tadi?” tanya Mursyi lagi seperti tahu apa yang bersarang dalam hati rakan sekerjanya itu. Perlahan Sarina menggeleng. Bibirnya mencebik. Malas hendak beritahu. Nanti dikatakan mengada pula.
“Nah! Ini ada sikit kuih dalam plastik ni. Makanlah!” Tahu sangat dengan perangai Sarina tidak mahu menyusahkan orang lain dengan berbohong. Mursyi bangkit dari tempat duduknya. Kaki mengorak langkah menuju ke tempat Sarina. Tidak jauh. Dalam lima saat sudah sampai. Tidak termasuk bayaran tol a.k.a sapaan orang lain yang mahu bersembang dengan Mursyi.
“Eh, tak apa ke kak Mur?” tanya Sarina teragak-agak. Tidak tahu mahu terima atau tidak.
“Ambil ajelah. Akak pun dah makan sikit tadi. Dah kenyang pun.” Mursyi menyakinkan Sarina. Wanita yang bertudung oren serta berbaju oren juga tersenyum. Sarina tersenyum kelat. Masih ragu ragu untuk menerima.
Namun, setelah diunjuk beberapa kali plastik berisi kuih itu, dia menerima jua huluran Mursyi. Tambahan pula, perutnya sudah mengamuk Katrina. Tangan Sarina mengambil dengan perlahan. Tidak mahu nampak gelojoh. Dia mengunyah dengan perlahan.
Mursyi kembali ke tempatnya. “Rina, sila masuk.” Arah Encik Hairul melalui interkom. Terperanjat Sarina. Hampir termuntah kembali kuih itu. Dia merengus geram. Bengang dengan Encik Hairul yang tidak reti nak bagi salam.
“Ya, Tuan.” Jawabnya sambil meletak kembali kuih itu. Mursyi memandang Sarina lalu menghulurkan senyuman. Senyuman itu berbalas. Sarina bangkit. Tangannya menyambar buku diari disebelah interkom.
Dia mengetuk pintu pejabat Encik Hairul. Tombol pintu dipulas setelah mendengar arahan supaya masuk. Sarina memerhati Encik Hairul yang sedang menaip sesuatu pada laptopnya. Setelah Sarina berdiri elok dihadapannya, pandangan dihalakan pula pada Sarina.
“Saya nak kamu ikut saya ke, Tanjung Dawai. Kita ada mesyuarat disitu. Siap sedia dengan fail yang perlu dibawa.” Jarinya menaip semula di laptop.
“Tanjung Dawai? Bukan ke di Syarikat Permuda?” tanya Sarina pelik. Terjongket kening kirinya. Encik Hairul tersenyum. Dia tahu Sarina pelik. Sedangkan dia juga berasa pelik dengan permintaan tempat kliennya, apatah lagi Sarina. Tapi, apakan daya dia hendak menghalang. Boleh juga singgah di rumah ibu saudaranya disitu.
“Ya. Biasalah klien mahukan tempat tepi pantai. Nak kawasan alam semulajadi kata mereka. Ikut ajelah. Lagipun boleh juga makan-makan makanan laut disitu.”
“Pukul berapa Encik Hairul?” Sarina mencatatkan sesuatu ke dalam diari.
“Lepas waktu rehat.” Dia tersenyum.
“Baiklah. Ada apa-apa lagi Encik?” tanya Sarina lagi.
“Rasanya tak ada apa-apa lagi. Oh, lupa pula. Tolong carikan fail Syarikat Intropro. Rasanya saya ada beri pada Rina sebelum ni.” Gerak tangannya terhenti lalu memandang Sarina.
Sarina pula mendongak, memikirkan sesuatu. Kemudian, dipandang Encik Hairul berserta senyuman dibibir.
“Ada. Nanti saya cari.”
“Okey. Dah tak ada apa-apa lagi. Kamu boleh pergi buat kerja.” Sarina tanpa membuang masa. Terus bergerak keluar. Hendak sambung makan sebenarnya!

Sarina berjalan disebelah kedai alatulis. Dipandang sekilas. Tidak ramai yang ada. Mungkin kerana waktu tengah hari. Selalunya, ramai pelanggan dikedai itu.
Dia terus berjalan sehingga ke kedai makan yang berhampiran dengan pejabatnya. “Rina!” jerit seseorang dari arah belakang. Terus Sarina berhenti lalu menoleh.
Kelihatan Hafiz berlari-lari anak mendapatkannya. Sengihan dibibir menampakkan kecomelannya. Sarina membalas senyumannya. Dari jauh Hafiz memerhati Sarina. Lenggok badan Sarina sudah Hafiz kenal pasti dari jauh.
“Nak pergi mana ni?” soal Hafiz setelah berhenti berlari. Dia termengah-mengah. Naik turun dadanya menyedut udara. Cuba mengembalikan rentak dada seperti sediakala.
“Nak pergi makanlah. Pergi mana lagi.” Sarina menunjuk ke restoran yang berdekatan. Bibirnya mengukir senyuman. Hafiz terbatuk-batuk. Dia berdehem. Cuba mengembali suara yang ditelan resah.
“Cikgu dari mana ni?” tanya Sarina. Pelik! Bagaimana pula Hafiz boleh tersesat sampai ke situ. Keningnya kejap turun, kejap naik.
“Oh...saya..err...sa..ya...saja jalan-jalan sini. Kebetulan pula sekolah cuti.” Muncung mulut Sarina. Soalannya terjawab. Hafiz mengusap-ngusap tapak tangan. Seram sejuk. Mereka senyap. Hening suasana. Tidak tahu mahu berkata apa.
“Ina tak ikut ke?” idea itu terlintas difikiran Sarina. Usapan tangan Hafiz terhenti. Seperti dunia berhenti tatkala nama Ina singgah di telinga Hafiz.
“Tak. Dia ada kerja katanya. Nak kena buat proposal apa entah. Kesian dia. Kerja kuat sangat. Sampaikan masa untuk saya pun kadang-kadang tak ada.”
Sarina hanya tersenyum. “Dia memang kerja kuat. Ingat lagi masa di sekolah dulu. Kalau kerja cikgu bagi, mesti siapkan juga masa tu. Kalau tak sempat, dia sambung dirumah tapi kena siapkan hari itu juga. Malas nak tangguh kerja katanya.” Sahut Sarina cepat-cepat.
“Rina...”
“Rina!” sampuk seseorang dari arah bertentangan Hafiz sambil berlari sebelum dia sempat menghabiskan ayatnya. Segera Sarina menoleh. Dan! Bibirnya tersenyum. Sarina pula tergamam. Baru malam tadi bercakap dalam telefon, sudah muncul hari ini. Dasyat!
Hafiz pula ternganga. Sekejap saja Dan tiba. Sarina dan Hafiz masing-masing terdiam. Kelu lidah mereka. Terperanjat dengan kehadiran Dan yang mendadak. Masing-masing masih memandang Dan. Terasa seganlah Dan dengan renungan mereka berdua.
“Kenapa yang renung macam nak telan aje?” soalan itu diajukan pada Sarina. Serta-merta mereka berdua tersedar. Kembali ke alam realiti!
“Err...tak ada apa-apalah. Err...” Dan menanti ayat yang bakal keluar dari mulut Sarina. Hafiz yang berada disitu seperti tidak Dan sedari kehadirannya.
“Macam mana yang boleh sampai ke sini?” tanya Sarina teragak-agak. Patutukah dia bertanya soalan itu? Dia sendiri bingung.
“Oh...yang tu...” Dan termalu sendiri. Tidak tahu mahu menjawab apa. Lidahnya kelu. Tangannya menggenggam sesuatu. Erat genggamannya. Terus Sarina memandang tangan Dan yang tergenggam. Hati kecilnya tertanya-tanya barang yang digenggam Dan. Mata Hafiz turut memandang tangan Dan. Hatinya berasa tidak enak. Tidak sedap langsung!
“Apa yang Dan genggam tu?” terus Sarina bertanya setelah desakan hati berjaya menguasai dirinya. Kempunan betul dia nak tahu. Adakah special?
Bola mata Dan memandang pula tangannya yang menggenggam erat sesuatu. Genggamannya mulai longgar. Takut juga barang itu pecah atau apa-apa saja yang tidak diingini. Anda mampu mengubahnya! Ingatlah orang yang tersayang!
“Ini! Inilah sebabnya Dan datang.” Bicaranya tersangkut seketika. Mencari-cari ayat seterus agar lebih mantap!
“Apa sebabnya Dan?”

“Dah siap ke Rina?” pertanyaan Encik Hairul membuatkan Sarina tersentak. Tangan disorok bawah meja.
“Hah?! Apa Encik Hairul?” Sarina memandang Encik Hairul yang pelik. Tiba-tiba saja Sarina berubah jadi tidak peka. Terjongket kening Encik Hairul. Sarina malu-malu. Kepala tertunduk bawah. Tidak sanggup menatap wajah Encik Hairul.
“Kamu ni kenapa? Ada yang tak kena ke? Yang kamu dari tadi saya tengok, asyik membelek tangan kamu, kenapa?” Encik Hairul bersuara mengusik. Sarina sudah tidak keruan. Ditoleh kiri, salah. Ditoleh kanan, salah. Serba tidak kena dibuatnya.
“Err..tak ada apalah Encik Hairul. Cuma...hah...tak ada apalah.” Dia sedaya boleh mengukir senyuman yang meyakinkan. Namun terasa tidak bergula. Pahit saja!
Encik Hairul buat pandangan tidak percaya 100%. Sengaja dia buat begitu. Oleh sebab, Encik Hairul buat pandangan diskaun 40%, hanya tinggal 60%, maka Sarina mula terasa berpeluh walaupun tiada kelihatan peluh memercik.
“Betul ke ni?” tanya Encik Hairul sekali lagi. Suaranya ditekankan.
“Betul!” tekan pula Sarina.
“Okeylah, kalau dah kamu cakap macam tu. Dah siap ke nak pergi?” tanya Encik Hairul sambil memandang Sarina yang tertunduk, dari ekor mata.
Sarina mengangkat muka. Mursyi yang baru melabuhkan punggung melihat adegan bos dan pekerja disitu. Free show!
“Pergi mana?” Sarina hairan. Sekarang Encik Hairul juga turut pelik! Dia sedikit tersentak. Kemudian, Sarina tersedar sesuatu. Dia terus mengangguk.
“Dah, Encik.” Bicara Sarina gugup. Dia segera berdiri dan mengapit beberapa fail yang perlu dibawa. Encik Hairul masih dengan pandangan peliknya. Sarina sedaya upaya berlagak seperti biasa. Encik Hairul berjalan terlebih dahulu. Sarina membuntuti dari belakang. Kedua-dua mereka masuk ke dalam lif lalu punat G ditekan. Sarina hanya senyap. Begitu juga Encik Hairul. Suasana hening menyelubungi mereka. Mata Sarina sedaya mungkin membawa pandangannya lari dari bertentang mata dengan Encik Hairul. Orang disebelahnya merenung Sarina dari tadi. Mengkaji gerak geri Sarina yang aneh.
Kejap dibetulkan baju, kejap dibetulkan tudung walaupun sudah kemas. Tetapi, rasa resah dan serba tidak kena telah ‘sampuk’ dalam diri Sarina.
Tidak lama kemudian, pintu lif terbuka. Cepat-cepat Sarina meloloskan diri. Dia sebenarnya tidak selesa dengan pandangan yang dihulurkan Encik Hairul. Macam baru nampak buah durian!
“Masuklah. Takkan nak berdiri diluar saja aje?” sergah Encik Hairul apabila Sarina hanya merenung tingkap kereta Innova milik Encik Hairul.
Sarina tersentak. Dia mendongak kepala merenung Encik Hairul yang memerhatinya dari dalan kereta. Segera Sarina buka pintu kereta lalu melabuhkan punggung diatas kerusi sebelah Encik Hairuk. Pintu kereta ditutup lalu kereta bergerak meninggalkan tapak parking.
“Kamu ni kenapa? Dari tadi asyik merenung tangan kamu aje. Ada yang tak kena ke?” lembut Encik Hairul bertanya. Prihatin benar dia dengan kelakuan Sarina.
Sarina terperanjat. Lagi! Asyik terperanjat saja dari tadi. Tak letih ke? Cepat-cepat Sarina menyorok tangannya. Berlagak selamba. Dipandang semula ke jalan.
“Tak ada apa-apalah.” Balas Sarina. Encik Hairul pandang sekilas. Gayanya seperti bukan seorang bos, tetapi seorang kekasih yang mengajak seorang gadis pergi berdating. Sebelah tangan saja memegang stereng. Sebelah lagi memegang brek tangan.
“Saya tak percayalah. Siapa yang bagi sebenarnya cincin tu? Istimewa ke?” tanya Encik Hairul lagi. Kali ini dimuncungkan ke arah tangan kanan Sarina yang dibawa menyorok. Sarina bungkam.
Hendak tak hendak, dia perlu tunjuk juga. Cincin berlian yang berbentuk petak ditunjuk pada Encik Hairul. Dia pula tergamam. Kemudian, segera dia menyedarkan diri. Silap hari bulan terjun longkanglah mereka.
“Siapa yang bagi?” Sarina sudah malu-malu. Sedikit kecewa riak wajah Encik Hairul. Dia dari dulu lagi sebenarnya ada hati pada Sarina. Tapi dia takut untuk meluahkan. Bimbang andai Sarina menolak. Akhirnya, dia memendam rasa saja.
“Err...” malu pula Sarina hendak menjawab. Dia tidak tahu hendak ‘melabel’ Dan apa. Kekasih? Tunang? Teman lelaki? Pening kepalanya.
“Kekasih ya?” teka Encik Hairul. Suaranya dinadakan seperti bahagia untuk Sarina. Hakikatnya tidak! Senyuman yang dihulurkan juga palsu. Dia makan hati.
“Ya...” meleret suara Sarina. Tidak dia tahu wajah Encik Hairul yang berubah. Moodnya juga sudah ber’hangin’. Senyumannya mati. Sarina bahagia tanpa ketahui ada hati yang luka. ‘Padan muka kau! Penakut sangat nak luahkan perasaan! Kan dah melepas!’ kutuk hati Encik Hairul.
Pedal minyak ditekan kuat. Makin lajulah kereta itu. Sarina sudah berdebar mengenangkan Encik Hairul memandu dengan laju. “Encik Hairul! Kenapa pandu laju sangat ni?” tanya Sarina dengan agak kuat nadanya.
Encik Hairul yang tersedar terus perlahankan kenderaannya. Dia tersedar dari rasa kecewa yang menghambatnya. Pedal minyak ditarik perlahan hingga kenderaan bergerak perlahan.
“Sorry. Terganggu sikit tadi. Ada hal yang menganggu fikiran.” Balas Encik Hairul tanpa senyuman. Sarina memandang pelik Encik Hairul dari ekor mata. Kenapa pula tiba-tiba Encik Hairul berubah laku? Ada kena mengena dengan cincin dijari Sarina ke?
Sarina senyap mendengar penjelasan Encik Hairul. Malas hendak berkata kembali. “Macam mana orangnya?” tanya Encik Hairul pura-pura ingin tahu. Senyuman dihulurkan. Tetapi kelat dirasakan. Palsu belaka!
Sarina mula mengatur senyuman. Bahagia! “Boleh tahanlah.”
“Boleh tahan? Tak percayalah. Mesti kacak orangnya. Baru padan dengan awak.” Bidas Encik Hairul pula. Makin lebar senyuman Sarina.
‘Huh! Aku lagi kacak tau,’ Encik Hairul memuji diri sendiri. Dia membayangkan dirinya diatas pelamin dengan Sarina. Baru padan! Dia tersenyum sendirian.
“Okeylah. Nak kata kacak sangat tu, taklah.” Sarina rendah diri.
‘Memang pun. Aku aje yang kacak sangat,’ Encik Hairul puji diri sendiri. Lagi!
“Kenal bila lagi? Macam mana boleh kenal?” siasat Encik Hairul lagi. Dia masih tersenyum. Suka benar membayangkan dia diatas pelamin bersama Sarina. Bagai pinang tak dibelah langsung!
“Kenal masa disekolah. Dah lama kenal. Lepas tu kami putus, kemudian berjumpa balik.” Ringkas cerita Sarina. Dia malas hendak cerita panjang-panjang.
Muncung mulut Encik Hairul terpegun dengan kisah ‘menyayat’ hati itu atau lebih tepat lagi, ‘menyiat’ hati.
“Macam mana yang boleh terputus tu?” sibuk betul dia mahu tahu. Sarina mengeluh.
“Panjang ceritanya...”
“Pendekkan.” Sampuk Encik Hairul. Dia tayang gigi. Diusap perlahan rambutnya yang agak panjang. Berlagak persis seorang model menjalani penggambaran syampu rambut.
“Payahlah kalau dipendekkan. Nanti tak menariklah ceritanya. Eleh, macamlah Encik Hairul tak ada kisah cinta sebelum ni. Mesti ramai peminat. Encik Hairulkan kacak.” Kembang hati Encik Hairul mendengar pujian dari Sarina. Dia mengetap bibir kerana seronok.
“Ada tu ada. Tapi kalau cerita, rasanya awak boleh terlena dulu. Membosankan! Tak menarik langsung.”
“Takkanlah sampai begitu sekali?”
“Betul.” Sarina tidak percaya. Masakan orang yang segak, berkerjaya dan kaya ini tidak punya kisah cinta yang menarik. Pasti ada yang berjaya menarik hati Encik Hairul. Takkanlah Encik Hairul ini dah di dunia ‘terbalik’. Tidak pula dia melihat Encik Hairul berkelakuan pelik dengan yang spesis dengannya.
“Saya tak percayalah.”
“Tak percaya sudah!” tekan Encik Hairul.
‘Mana mungkin aku cintakan orang lain kalau hati aku dah dicuri! Dicuri oleh kau, Sarina!’ bisik hati Encik Hairul. Dikerling Sarina yang memandang cincinya lagi, dari ekor mata. Sakit hatinya tiba-tiba terasa.
“Awak suka yang macam mana?” tanya Encik Hairul setelah suasana hening menyelubungi mereka.
“Apa maksud Encik Hairul?”
Encik Hairul terdiam seketika. Dia mahu mengatur ayat. “Maksud saya, orang lelaki yang bagaimana Rina suka.” Sekarang Encik Hairul memanggil nama Sarina. Sarina terasa ada kelainan dengan cara Encik Hairul menyebut namanya. Terasa penuh dengan kasih sayang. Namun, cepat-cepat diusir perasaan itu. Sekarang hatinya milik Dan.
“Entahlah.” Jawab Sarina selamba. Acuk tak acuh saja jawapannya.
“Entah? Takkanlah?” terjongket kening Encik Hairul. Pelik!
“Rasanya...”
“Rasanya? Biar betul awak ni? Halo! Mengigau ke apa?” tangan digoyang-goyang depan mata Sarina.
Sarina ketawa. “Saya tak mengigaulah. Entahlah. Rasanya saya suka yang kelakar, baik hati, tak tinggal sembahyang. Mungkinlah...” Mulutnya herot sebelah. Macam orang kena tampar!
‘Semua ciri tu, aku ada...’ bisik hati Encik Hairul. Dia tersenyum sendirian. Namun, tidak Sarina sedar. Dia memandang luar tingkap. Deretan kedai menggamit rasa rindu pada Dan. Tangannya memegang dan mengusap perlahan cincin itu. Meskipun, cincin itu bukan cincin tunang, tapi sangat bererti.
“Semua ciri tu saya ada.” Tiba-tiba terlontar kata itu dari mulut Encik Hairul. Sarina terperanjat. Encik Hairul tergamam. Tidak sangka bibirnya menutur ayat itu akhirnya. Dengan berani! Bravo!
Kemudian, Sarina ketawa. Bagi menghilangkan rasa terkejut dan malu. Encik Hairul pula turut ikut ketawa agar kurang rasa malu. Namun, tawanya kekok saja bunyinya.
“Luculah Encik Hairul ni,” komen Sarina selamba. Dia masih dengan gelaknya yang bersisa tanpa curiga apa-apa. Encik Hairul pula yang terasa segan. Duduknya terasa tidak kena. Malu beb!
Macam mana boleh terkeluar ayat budak sekolah rendah. Jiwa kacau betul!
“Eh, bila nak sampai ni? Saya dah terasa lapar ni, bila teringat perkataan seafood.” Tukar topik! Malas nak berbicara lama-lama hal itu.
“Kejap lagi sampailah. Hai, makan tengah hari tadi tak kenyang lagi ke?”
“Alah, itu masakan kampung. Ini seafood. Berbezalah. Nak makan di mana ni Encik?”
“Restoran Warisan Pak Kob.”
“Pernah dengarlah nama tu. Dengar kata, makanannya sedap.”
“Makanan memang sedap. Saya pernah sekali makan disitu. Pemandangan pun cantik. Tepi laut.” Dia sudah terbayang restoran itu.
“Ini yang buat saya tak sabar ni. Janganlah cerita. Dah menggelegak perut saya ni.” Sambut Sarina mengusap-ngusap perut.
Encik Hairul tergelak melihat aksi Sarina. Bahagia dia seketika. Tiba-tiba Sarina teringatkan peristiwa tengah hari tadi. Babak yang menggetar jiwa. Membuatkan dia bahagia. Seperti berada di awang-awangan. Macam berada diatas awan.

“Apa sebabnya Dan?”
Dan sudah menayang senyuman menggodanya. Sarina resah dan tergoda. Hafiz tidak tenang. Mukanya sudah terasa kebas.
Dan melutut kaki kanan. Tiga orang yang lalu disitu sudah berhenti dan memandang babak ‘cintan-cintun’ itu. Langkah semuanya terhenti. Anak yang menangis di pangkuan seorang lelaki terus senyap.
Sarina tergamam. Tidak tahu Dan mahu lakukan apa. Dia hanya memandang Dan. Mereka yang disitu menanti dengan penuh debaran. Mata sudah tidak berkelip. Tidak mahu terlepas apa-apa. Rugi!
Sebuah kotak yang berwarna merah dibuka. Cincin berlian kelihatan! Cantik! Bentuknya petak. “Wow!” itu yang diucapkan orang yang melihat cincin itu. Sarina tergamam. Rahang bawahnya terjatuh bagai diikat dengan batu berlian itu.
“Apa semua ni Dan?” tanya Sarina gugup.
Dan tersenyum. “Sudikah Rina menerima Dan sebagai suami Rina?”
Adakah ini lamaran? Dari Dan kepada Sarina? Tentulah!
Sarina tergamam. Dirinya sudah tidak tahu mahu bicara apa. Matanya tidak berkelip memandang Dan. Hafiz seperti terhenti gerak jantungnya. Lagi tiga orang manusia biasa ditepi yang memandang babak itu, tersenyum. Sedikit pun tidak rasa mahu beralih dari situ.
Mata Dan bercahaya. Sarina masih dengan rahangnya terjatuh. Mimpi malam tadi menjadi realiti. Cuma part yang Dan muncul saja. Yang lamaran itu, tak ada pun! Hanya rekaan semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang passed away.
“Dan...Rina..tak tahu nak cakap apa...” bicara Sarina lembut. Dan tersenyum. Hafiz bungkam. Dia sudah habis! Tamat! Titik! Jalan mati!
“Cakap ya atau tidak. Itu saja yang Dan perlukan.” Dan masih tersenyum.
Sarina tahu! Dia tidak akan berkata apa-apa tapi dia akan...
Cincin tercabut dari kotaknya. Sarina menyarung sendiri cincin itu dijari manisnya. Tatkala itu, mereka yang lain tersenyum meleret kecuali Hafiz yang kecewa. Penonton juga terasa bahagianya.
“Agak agak berapa karat tu?” tanya lelaki yang menjadi penonton itu kepada seorang wanita, yang mungkin isterinya. Wanita itu mengangkat bahu. Tanda tidak tahu.
“Tak mainlah yang berkarat oi!!! Buang duit aje kalau beli yang berkarat.” Sahut seseorang. Buat lawak! Terus bergema dilorong itu dengan gelak tawa.
Dan melebar senyuman. Tahu sudah jawapan Sarina. Dia bangkit semula. Ingin saja dia pegang tangan Sarina, namun tidak dia akan lakukan sekarang. Nanti dapat juga dia pegang. Cuma tunggu saja waktunya.
“Romantiknya...” jerit seseorang dari arah penonton itu. Baru Sarina serta Dan sedar yang mereka menjadi tontonan umum atau U. Pipi sudah memerah. Sarina tersipu-sipu. Dan malu-malu. Hafiz kecewa bangat!
“Saya pergi dululah. Ada kerja sikit. Tahniah! Nanti jemputlah saya.” ucapnya tidak ikhlas. Dia sudah kalah. Dan terasa lapang sikit dadanya.
Hafiz menghulurkan tangan untuk bersalam. Salamnya bersambut. Dan tersenyum bahagia. “Tentulah.” Itu saja jawapan Dan. Bahagia sungguh sampai itu saja yang dia terfikir dikepala. Kelat senyuman Hafiz.
Hafiz melangkah pergi dari situ dengan segera. Laju kakinya mengatur langkah. Mahu segera beredar dari situ.
“Macam mana?” tanya Dan. Tangan seluk poket. Terasa lain pula dia sekarang. Sarina sudah kelu. Lidahnya terasa bertulang tiba-tiba. Keras semacam.
“Macam mana apa?” buat buat tidak faham.
“Rasa Rinalah. Perasaan Rina.”
“Ish, malulah nak cakap. Orang dahlah tengah lapar ni.” Penonton sudah pergi. Anak tadi menyambung kembali ‘ratapan anak tiri’nya.
“Okeylah. Dan belanja. Lagipun, Dan pun belum makan lagi ni.”
“Okey.”

“Rina?” sergahan Encik Hairul menyentakkan Sarina. Segera dia kembali ke alam realiti yang berada di dalam kereta bersama Encik Hairul.
Dipandang Encik Hairul yang memandangnya sekilas. Mereka hampir tiba ke Tanjung Dawai. “Ya?”
“Saya cakap seorang rupa-rupanya.” Omel Encik Hairul selamba. Sarina pula berada di dunia lain.
“Apa yang Encik cakap tadi?” tanya Sarina macam budak bodoh. Encik Hairul tergeleng-geleng. “Tak ada apa-apalah.” Dia teruskan dengan pemanduannya.
Sarina kembali memandang jalan. Fikirannya sekarang memikirkan tengah hari tadi. Bagaimana Dan begitu yakin Sarinlah jodohnya? Sarina terfikir, mimpi malam tadi. Ya! Dia melakukan solat istikharah. Tidak dia sangka dia akan melakukannya. Jarang sekali dia melakukan solat istikharah.
Malam tadi, dia lakukan dengan penuh keihklasan. Entah apa yang merasuknya melakukan solat istikharah malam tadi selepas berbual dengan Dan. Pagi itu pula, Dan muncul dengan cincin yang kini tersarung kemas ditangannya.
Malam tadi dia termimpikan Dan muncul. Dan muncul dalam mimpinya! Agak sukar untuk dia percaya. Memang jawapan itu yang dia harapkan. Akhirnya, jawapan itu yang muncul. Melegakan hatinya.
Pagi itu, Dan muncul. Adakah satu kebetulan? Atau memang dirancang? Pening juga dia. Tapi, yang Sarina pasti, inilah ketentuan Allah. Dia bersyukur andai Dan jodohnya. Bersyukur sangat. Hatinya memang sayangkan Dan. Tidak dinafikan lagi.
Tapi mahukah ayahnya menerima Dan? Mahukah ayah Dan menerima Sarina? Setelah segala-galanya terbongkar. Adakah perhubungan mereka akan dihalang?
Sarina mengeluh. Encik Hairul yang mendengar keluhan Sarina, menoleh. Apa pula yang tidak kena? Kejap tadi bercahaya wajahnya, kemudian, suram pula. Apa pula yang tidak kena?

No comments:

Post a Comment