Saturday, April 3, 2010

bab33

BAB 33
“Asalamualaikum.” Sapa seseorang dari arah belakang Sarin serta Farisya. Ina mendongakkan kepala. Terus ceria wajahnya melihat kedatangan yang dinanti. Serta-merta Sarina menoleh dan dituruti Farisya.
Alangkah terperanjat sekeping hatinya tatkala matanya tertangkap wajah Hafiz. Dia juga turut terkejut melihat kehadiran Sarina disitu. Masing-masing membeliakkan mata. Farisya buat selamba. Dia menelan air sirap bandung yang disedutnya tadi.
“Kan aku dah kata. Kau mesti terkejutlah.” Suara Ina mengejutkan Hafiz. Kemudian, dia cepat-cepat menghulurkan senyuman. Sarina pula sudah memandang Ina. Hafiz berjalan lalu menempel punggungnya di kerusi sebelah Ina.
Hati Sarina pula terkejut. Tidak dia sangka Hafiz orangnya. Dia tidak tahu, mahu berkata apa. Lidahnya terkedu kerana terperanjat. Ina bercinta dengan Hafiz? Biar betul!
“Terkejut?” tanya Ina lagi. Sarina tersenyum luas. Farisya pula memandang Hafiz lalu tersenyum. Dia pelik juga, kenapa Sarina terkejut beria-ria sangat. Kalau ya pun terkejut, janganlah over sangat. Ini macam, terdengar berita Dan kahwin lain.
“Mahu aku tak terkejut.” Hafiz masih memandang Sarina. Dia tersenyum. Tetapi kelat saja. Farisya perasan akan itu. Dia memandang Sarina pula. Sarina tunjuk muka ceria. Pelik!
Rika muka Hafiz tidak jelas cerianya. “Kenapa lambat?” tanya Ina, memecahkan suasana yang agak hening.
“Ada hal sikit tadi. Kena bawa adik pergi sekolah.” Jawab Hafiz penuh yakin. Namun dia mengerling Sarina yang sedang menunduk, sedang membalas mesaj dari seseorang.
“Nak pesan apa-apa tak?” ramah pula Farisya. Pandangan ditala pada Hafiz.
“Eh, tak payahlah.” Seleranya tetiba saja mati.
“Eh, takkanlah tak nak cikgu? Nanti lapar pula. Bukan senang nak tunggu cikgu belanja kami.” Sampuk Sarina. Ina mengangguk setuju. Mereka bertiga ketawa. Tetapi, tidak Hafiz. Dia hanya tersenyum. Hatinya rasa sedih. Sedih kerana Sarina sudah tahu yang dia sudah berpunya. Musnahlah impiannya untuk...
“Alah, pesan ajelah apa-apa pun.” Sambung Farisya.
Akhirnya Hafiz akur jua. Dia memesan nasi goreng pattaya dan air barli sejuk. Tidak lama kemudian, makanan sudah sampai. Mereka mulakan makan dengan bismillah.
“Macam mana cikgu dengan Ina kenal?” tanya Sarina. Hatinya mendesak ingin tahu. Dipandang seketika raut wajah Hafiz, kemudian dipandang nasi di depan pula. Tangan masih menyuap ke mulut.
Gerak tangan Hafiz terhenti seketika. Dikerling Sarina yang bertentangan.
“Masa di kem pengakap sekolah. Adik Ina, kebetulan masuk kem tu. Jadi dari situlah kami berkenalan. Secara ringkasnya.”
“Yup. Ringkas! Tapi menjelaskan segalanya.” Gumam Farisya. Hafiz terkesima.
“Betul tu.” Sokong Ina. Dia ketawa bahagia. Hafiz tersepit.
“Jadi, bila lagi nak langsungkan?” tanya Sarina pula. Hafiz benar-benar tersepit.
“Entah. Tunggu cik abang ni masuk meminang dululah.” Jawab Ina selamba. Kemudian, dia ketawa. “Bilalah agaknya...” meleret suara Sarina.
“Dah berapa lama kau orang tut...” Ina tergelak. Sarina juga. Memang Farisya boleh keluarkan banyak ayat ‘romantik’. Hafiz hanya tersenyum. Itu saja yang dia mampu lakukan sejak tadi.
“Dah 15 bulan.” Jawab Hafiz. Akhirnya bersuara juga dia.
“Macam manalah cikgu boleh rahsiakan dari saya. Padahal, dah beberapa kali jumpa.” Hafiz hanya tersenyum.
“Larh, bila kau jumpa dia?” tanya Ina berminat.
“Baru aje. Eh, tak. Lama dah. Sehari sebelum bulan puasa.” Tidak Sarina ceritakan pertemuan pertama mereka yang sebenarnya. Malas dia mahu bercerita. Bimbang juga andai hubungan mereka bakal berantakkan. Dia tidak mahu jadi penyebab hubungan mereka putus.
“Oh, ya ke? Jumpa di mana?” itu saja yang keluar dari mulut Ina. Nasi disuap perlahan ke dalam mulut.
“Di Alor Star. Masa tu aku tengah pergi beli barang. Lepas tu, rasa lapar sangat, jadi aku pun pergilah makan di RFC. Terserempaklah dengan cikgu.” Ringkas saja ceritanya. Malas mahu cerita panjang-panjang. Buat sakit anak tekak saja.
Teringat terus peristiwa itu. Pantas dia menggelengkan kepala, cuba melenyapkan tayangan itu. Farisya yang melihat terus bertanya.
“Kau ni kenapa, yang tergeleng-geleng macam kena sampuk?”
Hafiz memandang Sarina. Pada telahannya, dia tahu mengapa Sarina menggelengkan kepala. Pasti dia teringat akan peristiwa itu.
“Tak ada apa-apalah. Saja nak geleng. Tak boleh?” balas Sarina selamba, walaupun dia gugup hendak menjawab.
“Bukan tak boleh tapi peliklah. Tiba-tiba aje kau geleng. Dah buang tabiat agaknya.”

No comments:

Post a Comment