Saturday, April 3, 2010

bab26

BAB 26
Sarina terkejut melihat siapa yang datang. Meremang bulu romanya. Encik Ariff pula tersenyum gembira. Mereka yang lain kehairanan. Siapa pula yang datang? Sudahlah tidak mereka kenali.
Sarina bagaikan sudah semput untuk bernyawa. Nyawa-nyawa ikan saja dia sekarang! Sesak dadanya. Bagaimana Dan boleh sampai ke sini? Bila dia bertolak datang ke sini? Mata Sarina membulat keluar dari soketnya.
“Waalaikumusalam.” Jawab Encik Ariff salam dari Dan. Sarina tersentak.
“Masuklah Dan.” Pelawa Encik Ariff. Anum yang melihat Sarina dari tadi, tersenyum seronok. Dia sudah tahu apabila melihat raut wajah Dan dari tingkap. Hatinya gembira. Dia tahu yang Sarina tidak mengajak Dan datang ke rumah, tapi oleh sebab kuasa cinta, yang tak logik boleh jadi logik!
Dan langkah kanan masuk ke rumah. Berhati-hati dia melangkah. Takut tersilap langkah, terjatuh pula nanti. Mahu malu seantero rumah! Malu besarlah dia!
Banyak mata-mata yang penuh dengan persoalan memandang Dan yang sudah malu apabila menyedari mereka semua memandang dia. Dia tersenyum malu. Rasa tidak menjadi senyumannya.
“Siapa pula ni?” tanya mak anjang.
“Kawan Rina.” Encik Ariff yang tolong jawab bagi pihak Sarina yang sudah terkatup rapat mulutnya. Ceria nadanya menjawab. Senyuman meniti dibibir tidak sudah sudah. Gembira sungguh dengan kehadiran Dan. Puan Aisyah hanya menguntum senyuman.
“Hai? Abang Ariff pula yang beria-ria menjawab kenapa? Ada apa-apa ke?” tanya mak anjang.
Tidak pula Encik Ariff membalas, tetapi hanya mendiamkan diri sambil tersenyum. Dan masih berdiri di pintu. “Oh, yang ni ke...”meleret suara Syafik dan memandang Sarina. Jelingan hangat diberi kepada Syafik yang menahan tawa.
“Dan. Boleh tolong ambil gambar kami? Nak suruh Farhani pun kesian pula nanti gambar dia tak ada. Merajuk pula nanti dia, tak boleh bergambar dengan abang sayang dia.” Tanya pak ngah dan sekali gus mengusik Farhani.
Farhani sudah malu-malu dan mengetap bibir. Paan pula sudah merah pipi. Tidak senang duduk dia! “Boleh. Mari sini kamera tu.” Dan menghulur tangan meminta kamera yang dipegang Farhani.
Cepat sahaja Farhani meletakkan kamera diatas tangan Dan, dan bergerak ke mereka yang lain sudah bersedia untuk bergambar. Dia mengambil tempat duduk sebelah Paan yang kosong.
“Sedia?” Dia mengambil tempat yang Farhani berdiri tadi.
Dan sudah bersedia untuk menangkap gambar. Gaya seorang jurukamera. Sarina sudah rasa lain. Malu? Entah! Takut? Sedikit, kerana takut mereka bertanya banyak pada Dan. Lalu, berkemungkinan besar rahsia terbongkar. Suka? Memang. Suka kerana dia dapat beraya dengan Dan.
Bagaimanapun, dia mengatur senyuman. Anum yang berdiri bertentangan dengan Sarina, sudah tersenyum. Senyuman yang luar biasa kerana senyuman itu tidak berhenti tersenyum sejak kehadiran Dan. Sarina rasa hendak baling dengan penyapu! Tahu sangat senyuman Anum itu.
“Satu..dua..tiga..”

Sarina berada didapur menyiapkan minuman untuk tetamu yang separuh undang. Dan! Anum berada disebelahnya menyiapkan lemang. Dia cepat-cepat melakukan kerjanya. Mahu ke depan dengan segera! Takut ahli keluarganya tanya perihal diri Dan, yang tidak patut mereka tahu sekarang.
Anum kejap menjeling kuih yang dimasuk ke dalam balang, kejap menjeling pada Sarina yang kalut menyediakan minuman, macam Dan nak pergi perang. Tak menyempat-nyempat. “Bertenanglah sikit. Aku tengok macam nak kejar si Dan tu. Tak ke manalah dia.”
“Aku tahulah. Tapi mulut-mulut yang macam nak pergi perang tu ada di depan.” Sarina merujuk kepada mak cik-mak ciknya yang kepoh. Anum ketawa terbahak-bahak. Dia faham siapa yang Sarina maksudkan.
Tidak lama kemudian, Sarina sudah siap menyediakan minuman. Dibawa minuman itu kalut-kalut. Nasib baik tidak terkena si Firdaus sepupunya, anak mak ngah yang berumur 17 tahun. Anum mengekori dari belakang. Tergeleng kepala Anum melihat perangai Sarina.
“Sabarlah sikit,” kata Anum. Tetapi tidak dijawab Sarina. Fikirannya memikirkan mereka yang berada di depan.
Minuman itu diletakkan diatas meja yang penuh dengan kuih raya. Dan memerhati saja Sarina yang kalut-kalut meletakkan minuman itu. Dia tahu apa yang bermain difikirannya. Setelah mereka bersalam-salaman tadi, meja besar itu menjadi tempat rehat mereka.
Meja itu penuh dengan manusia-manusia yang sengaja menyibuk disitu. Antaranya, Encik Ariff,pak lang, pak su, pak tam, pak ngah, pak anjang dan beberapa orang lagi mak cik-mak cik serta ibunya yang duduk dikerusi sofa.
“Minumlah.” Pelawa Encik Ariff. Dan membalas dengan mengangguk, namun mata ke arah Sarina.
“Eh, kata tadi nak tunjuk satu benda abang Ariff? Apa dia?” pak su bersuara.
“Ha’ah. Nak tunjuk apa?” tanya pula pak ngah. Mereka sebenarnya ingin memberi laluan kepada Sarina yang duduk disofa merenung gelisah.
“Ha’ah. Aku pun dah lupa. Jom ikut ke belakang.” Encik Ariff faham dengan isyarat adik-adik iparnya. Dia bingkas bangun dan berjalan ke bilik. Kemudian, dia berhenti dan memalingkan badan.
“Kalau nak apa-apa, bagitahu pada Rina. Jangan tak layan dia pula Rina.”
“Ya, ayah.” Perlahan Sarina menutur. Terasa lapang dadanya. Segerombolan bapa saudara dan ibu saudaranya pergi ke belakang. Memberi laluan kepada Sarina serta Dan untuk berbual. Hanya Anum sahaja yang buat tidak reti, termasuklah Farhani, Hidayah serta Nadya yang menyusukan anaknya. Sarina menjeling kepada mereka. Hidayah sudah tidak peduli suaminya, Farhan, yang berada di ruang televisyen. ‘Tak reti-reti nak bangun lagi ke? Blahlah kamu dari sini,’ gerutu hati Sarina.
Mereka buat muka badak saja. Muka tin sardin.
“Hah! Lupa pula ada benda nak bagi. Tunggu kejap.” Segera Dan bangun dan keluar dari rumah dan menuju ke keretanya.
“Dia nak pergi mana tu? Takkan dah nak balik?” tanya Hidayah.
“Entah.” Pendek saja jawapan Sarina. Bahu diangkat tanda tidak tahu.
Mereka berlima hanya diam tidak terkutik. Bunyi kipas memusing saja yang kedengaran. Beberapa saat selepas Dan pergi ke keretanya, dia kembali. Ditangannya ada beg plastik berwarna hitam. Lelaki yang berpakaian serba ungu itu, menyerahkan bungkusan itu kepada Sarina.
“Rasanya muat dengan awak.” Dan duduk kembali ditempatnya, bertentangan dengan Sarina. Pandangan lembut dihadiah kepada Sarina.
“Muat?” tanya Sarina tidak mengerti.
“Bukalah dulu. Tapi buka dalam bilik.” Terus Sarina meletak bungkusan itu. Dan berkerut dahi.
“Kenapa letak situ?” tanya Dan.
Terjongket kening Sarina dengan pertanyaan Dan. “Dah kata cuba dalam bilik. Nantilah saya cuba.”
“Cuba sekarang juga.” Arah Dan. Tajam matanya memandang Sarina. Mereka yang lain buat tidak mengerti. Pura-pura sembang, padahal pasang telinga.
“Nantilah saya cuba.”
“Cuba sekarang juga.” Desak Dan.
“Nantilah.” Sarina buat keras kepala. Seronok juga bergaduh dengan Dan.
“Cuba sekarang juga.” Desak Dan lagi. Kali ini dengan pandangan tajam.
Sarina mengeluh geram. “Yalah, yalah. Saya pergi cuba sekarang. Pendesak betul.” Sarina bingkas bangun. Terus pandangan Dan berubah jadi lembut.
“Ni yang buat Dan sayang ni”. Kata Dan main-main. Mereka yang dibawah rasa hendak tergelak. Ditekup mulut menahan ketawa.
Dan memberi sebuah senyuman kepada Sarina tatkala berpusing ke belakang. Sarina membalas dengan jelingan. Makin lebar senyuman Dan.
Dan mengambil minuman dan meneguknya.
“Makanlah apa yang ada tu Dan.” Pelawa Nadya. Dan hanya mengangguk. Kuih coklat bersalut badam diambil dan dibawa ke mulut lalu gigi putihnya mengunyah perlahan.
Sarina di bilik pula masih membebel.
“Suka hati dia aje nak paksa-paksa orang tengok sekarang. Benci betul!”
Dibuka kasar plastik itu. Dia kaku melihat isi plastik itu. Matanya membulat. Tatkala itu, sekeping kertas terjatuh dari dalam plastik itu. Kini matanya beralih memerhati secebis kertas yang terjatuh diatas lantai. Tangan lembutnya mencapai cebisan itu.
Matanya membaca perlahan tulisan itu.

Harap-harap baju ni muat. Selamat hari raya...sayang...

Dia tersenyum bahagia. Matanya beralih pada bungkusan itu pula. Dibuka dengan berhati-hati. Baju kurung berwarna ungu itu, disemat pada tubuhnya. Memang sesuai dan padan. Kena pula dengan salah satu warna kegemarannya. Diletak kembali baju itu diatas katil.
Selepas itu, dia keluar dari bilik dan tersenyum suka. Direnung Dan dari jauh. Senyuman menggoda campur ikhlas diberi. Dan tersentap. Dia kaku bagai kena sumpahan nenek kebayan bernama Sarina.
“Terima kasih. Cantik betul.” Bisiknya dengan gerak mulut dan suaranya hampir tidak kedengaran. Dan yang mendengar terus tersenyum riang. Pemberiannya dihargai.
Mereka berempat dibawah terpinga-pinga tidak tahu. Sudahlah tidak dengar apa yang Sarina katakan tadi. Sarina menempelkan punggungnya diatas kerusi. Gelas yang terkandung minuman, dicapai dan diteguk dahaga.
“Dah pakai?”
“Belum.” Sedikit masam raut wajah Dan. Sarina sedar akan itu.
“Memang cantik baju tu. Warna kegemaran saya pula tu.” Sarina cuba membeli hati Dan. Usahanya tidak sia-sia, apabila raut wajah Dan kembali ceria.
Terangguk-angguk kepala mereka berempat yang pasang telinga. Baju, yang diberikan Dan kepada si Sarina. Sila mereka, dibetulkan untuk mendapatkan posisi yang lebih menarik dan senang untuk suara Dan serta Sarina masuk ke lubang telingan mereka.
Terasa kembang hati mendapat pujian dari yang tersayang. Sengihan dibibir belum dapar diberhentikan buat masa sekarang. “Kenapa tak cakap yang ayah suruh datang hari ini?” tanya Dan mengejut. Sekarang wajahnya serius. Jari jemari mengetuk meja hingga menimbulkan rentak yang sedap didengar.
Farhani, Anum, Hidayah dan Nadya berpandangan. Ayah? Sejak bila mereka kahwin? Belum apa-apa lagi sudah panggil ayah? Persediaan awal nampak! Kemudian, menggeletar tubuh mereka kegelian. Namun tidak Dan serta Sarina sedari.
Mereka merenung satu sama lain.
“Bukan tak nak cakap...” Sarina mahu membela diri.
“Habis tu apa, kalau tak nak cakap?” serang Dan dengan nada yang suku tinggi namun bahang kepanasan terasa walaupun sedikit dihati Sarina. Sarina senyap lalu menunduk. Hatinya tersinggung. Keruhan diwajah Sarina dilihat Dan. Rasa bersalah mencengkam hatinya. Dia mengeluh perlahan. Mereka berempat kepingan mendengar bicara Sarina serta Dan.
Tidak jelas butiran percakapan mereka. Sila mereka injak ke depan sedikit. Mereka hanya tahu Sarina merajuk kerana dia menunduk. Itulah tabiat Sarina kalau merajuk. Bukan senang hendak pujuk hati Sarina.
“Bukan saya tak nak cakap tapi fahamlah sikit. Bukannya mereka kenal awak. Mesti mereka tanya macam-macam pasal awak. Kalau mereka kenal dari dulu saya tak kisah. Awak nak datang sini ke, awak nak tidur sini ke, apa saya kisah. Ni masalahnya mereka tak kenal awak. Nanti kalau mereka tanya banyak-banyak pasal awak, nak cakap apa? Hah?! Jawab!” luah Sarina dengan nada yang masih mampu dikawal agar tidak tinggi.
Kerutan dikening belum hilang. Dan memberi tumpuan yang sepenuhnya. Tangan kiri dan kanan digenggam diatas meja. Pandangan mata ditala kepada Sarina yang membalas renungannya.
“Alasan diterima.” Selamba Dan menutur. Sarina geram.
“Apa diterima-terima?” rengus Sarina geram. Dan terperanjat.
Kemudian, wajah terperanjat diganti wajah ceria dan senyuman dibibir. ‘Merajuklah tu,’ getus hati Dan. Sarina menjeling, apabila melihat wajah yang mulanya terperanjat kemudian berganti ceria. ‘Pelik! Tidak ada perasaan ke mamat ni? Padahal aku baru aje tinggikan sikit suara dengan dia,’ bisik perlahan hati Sarina.
“Ada orang merajuk,” Dan mengejek lalu tangan kanan mengusap lengan kiri yang berlapik dengan baju melayu yang berwarna ungu.
“Mana ada.” Sarina menjeling lagi. Naik tuli matanya asyik sangat menjeling.
“Ada orang merajuk.” Ejek Dan lagi. Seronok melihat Sarina marah. Bukan selalu dia dapat menatap wajah Sarina. Tambahan pula, Sarina di Alor Star dan dia di KL.
“Ada juga yang kena lempar dengan kasut.” Marah Sarina. Hatinya masih merajuk.
“Comelnya orang yang merajuk tu. Makin comel pakai baju warna hijau tua. Cutenya orang tu.” Usik Dan. Bibirnya melukis senyuman.
Sarina malu-malu. Sarina sudah mengukir senyuman. Hati yang rajuk sedikit-sedikit dipujuk. Hujung tudungnya dipintal-pintal. Aksi kucing sudah bermula. Makhluk Tuhan paling sibuk yang berada dibawah, merenung satu sama lain. Kening mereka terjongket. Tidak percaya dengan apa yang mereka melihat.
Begitu mudah Dan memujuk Sarina. Sebelum ini, mereka tahu kalau Sarina merajuk, cukup susah untuk memujuk. Tapi apabila melihat Dan pujuk, terus mereka hairan. Memang Sarina sudah terkena dengan panahan tut...
“Benci tau! Suka buat saya Rina macam ni.”
“Dan buat macam mana pada Rina?” tanya Dan buat tidak faham. Tanpa mereka sedari, kata ganti diri mereka sudah bertukar status. Status ‘awak-saya’ sudah tidak aktif, manakala status ‘Dan-Rina’ sudah berwarna hijau, menanda aktif.
“Dahlah! Mak dengan ayah macam mana? Sihat?” tanya Sarina, mengubah topik. Kalau tidak diubah, pasti dia akan kena usik sampai teruk. Rajuknya sudah hilang.
“Sihat! Mereka kirim salam.” Minuman diteguk perlahan. Sarina menjawab salam. ‘Kirim salam? Tahu ke mak si Dan ni siapa aku sebenarnya?’ getus hatinya.
“Air apa ni?” tanya Dan.
“Mereng.”
“Mereng? Apa tu?”
“Merah campur oren. Macam mana Dan boleh sampai ke sini? Jauhnya naik kereta.” Hatinya mendesak ingin tahu.
Perlahan Dan meletakkan minumannya. “Naik keretalah. Dekat aje. Dalam sejam setengah dah sampai.”
“Sejam setengah? Sepatutnya lima jam lebih baru sampai sini dari KL ke Sik. Dan bawa laju ke?” tanya Sarina lagi.
“Bukan dari KLlah. Dari Mahang. Tahun ni kami raya dirumah tok wan belah ayah di Mahang.” Selamba Dan bicara.
“Kenapa tak cakap ada di Mahang? Ada sesiapa ke di Mahang tu?” tanya Sarina cemburu dan berprasangka. Makin menarik minat mereka yang dibawah.
“Mana ada sesiapalah. Rina seorang aje tau dalam hati Dan.” Sejuk juga hati Sarina mendengar. Aksi orang hendak termuntah Anum buat. Sarina nampak.
“Sibuk ajelah kau ni.” Gerutu Sarina. Anum buat muka banduan tak bersalah.
“Saja nak buat suprise pada Rina. Suprise!!!” Dan tunjuk muka kanak-kanak dapat gula-gula. Ketupat menjadi sasaran tangan Dan.
“Nasib baik Rina ada. Dibuatnya Rina tak ada, baru betul-betul suprise.”
“Dan tahu Rina ada. Hati Dan tahu, Rina ada dirumah.” Jiwang karat betul ayat. Itulah orang kata ayat ‘power’.
“Tak habis-habis dengan ayat romantik dia tu. Naik tepu otak tau dengan ayat tu. Dan cakap apa pada mak dengan ayah, masa nak datang sini?” ingin juga Sarina tahu, bagaimana pak cik Din membenarkan Dan datang ke rumah dia.
“Dan cakap nak pergi rumah kawan. Nasib baik ayah tak tanya banyak. Sesekali kalau dia jadi polis pencen, mak ai, rasa nak cakap aje tak jadi nak pergi. Tapi entah angin apa masuk dalam kepala dia hari ni, tak tanya banyak.” Nasi himpit menjadi hidangan Dan pula.
“Hari raya kot. Malas agaknya nak tanya banyak.”
“Entahlah.”
“Bila Dan balik Mahang? Balik dengan siapa lagi?”
“Semalam. Balik dengan mak ayah dengan abang-abang dan kakak-kakak. Masa kita bersembang malam tadi, sebenarnya Dan dah ada di Mahang. Tapi saja tak nak bagi tahu.”
“Cantik tak baju Dan hari ni?” sambungnya lagi dengan nada menunjuk dan bangga. Dia cuba membuat Sarina tersenyum.
“No komen.” Balas Sarina selamba. Nanti kalau dipuji, makin naiklah bulu-bulu galaknya.
“Wah, jawapan artis. Sekarang dah belajar selok belok cara nak menjawab dengan wartawan. Kena biasakan diri. Nanti kalau kita dah kahwin, mesti banyak soalan.” Usik Dan.
“Gatal. Lepas ni nak pergi mana pula?” tanya Sarina basi-basi.
Anak dara dan mak dara yang dibawah sudah membuka topik mereka sendiri. Mereka tahu tidak banyak maklumat yang bakal mereka peroleh dari Sarina serta Dan. Pandai pula, Sarina serta Dan tidak membuka sebarang maklumat sulit.
“Entahlah. Balik Mahang terus rasanya.”
Sarina yang berasa terpanggil untuk menikmati nasi himpit, yang sengaja Dan buat menggoda dengan membuat gaya ‘macam sedap nasi himpit’, terus mencapai pinggan.
“Woi! Kau bukan dah makan ke tadi?” tanya Hidayah.
Dan terhenti menyuap. Matanya terpaku pada Sarina. Gerak tangan Sarina terhenti kemudian memandang Hidayah.
“Suka hati akulah nak makan berapa banyak. Macam aku guna perut kau. Itu tadi, ini sekarang.” Balas Sarina selamba lalu menyambung kerja menceduk nasi himpit itu.
Hidayah tidak berkata apa-apa. Dan rasa mahu ketawa.
“Dan!” panggil seseorang dari belakang Sarina. Encik Ariff berdiri dibelakang Sarina. Semua mata-mata disitu, memandang Encik Ariff.
“Hish! Janganlah pandang macam tu. Tahulah ayah ni kacak sangat.” Encik Ariff perasan. Sengaja dia mengusik mereka. Hidayah buat muka kegelian. Begitu juga Anum. Nadya dan Farhani ketawa besar. Makin galak gelak tawa mereka apabila melihat Encik Ariff memberi reaksi malu-malu gajah.
Sarina menahan ketawa, manakala Dan menyembunyikan senyuman.
“Perasannya ayah.”
“Datang bulan agaknya.”
“Aku rasa.”
“Ke ibu ada bagi ayah hadiah.”
“Ish tak kot.” Farhani, Nadya, Hidayah dan Anum memberi komen.
Encik Ariff terus cekak pinggang mendengar kata-kata dari menantu, anak, dan anak saudaranya. Matanya mencerlun ke arah mereka. Tetapi tidak makan saman. Buat tidak tahu saja mereka.
“Ada apa pak cik panggil saya?” tanya Dan setelah habis ditelan nasi himpitnya yang berada di dalam mulut.
“Pak cik nak ajak kau ke rumah saudara kami? Boleh tak?”
Sarina terkedu. Dan tidak berkata apa-apa. Dai memandang Sarina. Tahu gelojak hati Sarina.
“Lagipun boleh juga dua tiga orang tumpang kamu. Taklah penuh sangat kereta kami.” Pujuk lagi Encik Ariff. Matanya terus-terusan memandang Dan.
“Baiklah. Saya ikut. Tapi kat mana rumahnya?” Dan akur jua.
“Di Kampung Jelutong, Chepir.”
“Boleh. Berapa orang nak ikut saya nanti?” Dan mahu tahu lebih banyak maklumat.
“Ikutlah beberapa orang yang boleh muat dalam kereta Dan. Kejap lagi kita pergi. Dan tak pergi mana-mana, kan?” tanya Encik Ariff lagi.
Dan hanya menggeleng. Terangguk-angguk kepala Encik Ariff kemudian beredar dari situ.

No comments:

Post a Comment