Saturday, April 3, 2010

bab15

BAB 15
Melilau mata Puan Aisyah mencari kelibat seseorang. Terjenguk-jenguk kepalanya dimuka pintu. Orang ramai lalu lalang disebelahnya. Masuk dan keluar. Bergerak ulang alik ke khemah diluar. Bacaan Yasin dilakukan di dalam, manakala jamuan makan di khemah yang terletak diluar.
Sedang bola matanya bergerak ke sana sini, dia terlihat Dan yang baru sahaja melepasinya.
“Dan!” panggil Puan Aisyah. Dan menoleh.
“Ya, mak cik! Ada apa?” dia bergerak merapati Puan Aisyah.
“Ada nampak Sarina?” bercantum kening Puan Aisyah.
“Tak pula. Cuba tengok kat belakang. Rasa tadi ada ternampak kat belakang.” Tangan Dan menunjuk arah bertentangan. Sebenarnya dia baru sahaja balik dari berdating dengan Sarina. Mulutnya tersengih. Meluru-luru Puan Aisyah pergi. Dan tertanya-tanya. Namun, bukan urusan dia untuk mengetahui. Dia segera pergi ke bawah khemah untuk beramah mesra dengan para tetamu.
Puan Aisyah menyapa Sarina yang leka berangan sambil memandang langit yang hitam dan dihiasi dengan bintang serta bulan. “Rina. Pergi depan sekarang.”
Sergahan Puan Aisyah mengejutkan Sarina.
“Ibu! Buat Rina terkejut. Nasib baik tak ada penyakit kronik lagi mekanik. Kalau tidak dah lama ‘jalan’. Ada apa hal ibu ni?”
“Pergi depan. Hafiz dah sampai.” Ditamparnya lengan Sarina.
Keruh terus wajah Sarina. Dia mula rasa malas.
“Malasnya ibu. Susah sangat ibu pergilah layan dia.”
“Ewah! Pergi! Ibu kata pergi, pergi. Jangan nak melawan.” Tangannya dihala ke arah rumah mereka dibelakang Puan Aisyah.
“Suruh ajelah kak Sya pergi layan dia.” Sarina masih mahu memberi alasan.
“Otak kau ni betul ke tidak. Ibu bukannya nak kenenkan Hafiz dengan kakak kau, tapi dengan kau. Hish! Tak faham bahasa betul. Sudah jangan banyak cakap. Pergi!” terjegil biji mata Puan Aisyah.
Sarina pergi dengan muka tidak puas hatinya. Mulutnya sama banyak kaki yang berjalan. Membebel! Nadya yang melihat menegur.
“Apahal membebel tak tentu pasal ni?” namun soalannya tidak berbalas. Tergeleng-geleng melihat tingkah laku adiknya. ‘Ada yang tak puas hatilah tu,’ getus hati Nadya.
Sarina mencari wajah Hafiz tika sampai di khemah.
“Hai. Awak Rina kan?” sapaan dari seseorang membuatkan Sarina mengurut dada. Ditoleh ke belakang.
“Maaf. Saya tak bermaksud nak buat awak terkejut.” Nada suara Hafiz yang perlahan melembutkan hati Sarina. ‘Dah budak ni layan aku baik, baik aku layan baik jugalah,’ bisik hatinya.
“Tak apa. Tapi lain kali jangan buat macam tu lagi. Silap hari bulan melayang free saja nyawa saya. Dahlah guna topup. Nak kena tambah hari-hari dengan oksigen.”
Hafiz tersengih mendengar lawak Sarina. Dia merasakan seperti pernah berjumpa dengan Hafiz.
“Baiklah saya nak berterus terang dengan awak. Sebenarnya saya dah ada...”
“Kekasih. Saya tahu.” Sampuk Hafiz. Kaku Sarina. Bungkam dia seketika sebelum kembali normal.
“Mana awak tahu?” tanya Sarina dengan rasa ingin tahu membuak-buak dalam hati. Ada kuasa psikik ke Hafiz ni?
“Dah awak dari tadi tengok membebel tak henti-henti. Nak jumpa saya pun siap kena membebel lagi. Selalunya orang perempuan ni kalau dah berpunya mesti menolak yang lain. Siap bagi alasan lagi. Alasan tu kalau ditulis, boleh buat karangan.” Gurau Hafiz.
Rasa bersalah bermukim dalam hati Sarina. “Maaf.” Ringkas saja ayatnya.
“Tak apa. Cuma saya nak bagi tahulah sebenarnya saya pun dah ada kekasih.”
Tiba-tiba hati Sarina terasa lapang. “Oh, jadi tak payahlah berkenalan macam orang baru nak cari laki-bini.”
“Saya setuju. Lagipun, saya dipaksa ikut aje. Ikutkan hati tak nak tapi dah mak saya paksa.” Luah Hafiz sambil memegang pinggan. Pandangan Sarina beralih pada pinggan yang Hafiz pegang.
“Leganya hati saya. Belum makan lagi ke?” cuba beramah mesra.
“Belum. Baru nak beratur.” Hafiz menunjuk menggunakan muncung mulutnya. Sarina mengalih pandangan. Keretapi sedang beratur panjang.
“Tak apalah. Biar saya tolong ambilkan.” Tangan Sarina menghulur untuk mengambil pinggan yang Hafiz pegang.
“Awak tak kenal saya lagi ya Rina.” Berkerut dahi Sarina dengan pertanyaan Hafiz. Dia belum menyerahkan pinggan.
“Tak kenal apa?” bercantum kening kiri dan kanan Sarina. Hafiz pula menuntumkan senyuman dibibir.
“Saya.”
“Saya kenal. Hafiz.” Ucap Sarina selamba.
“Bukan. Cikgu Hafiz.” Tutur Hafiz tenang.
“Cikgu Hafiz.” Ulang Sarina. Otaknya masih tidak dapat menangkap maksud Hafiz. Kemudian, terus berubah wajah Sarina. Perasaannya bercampur baur. Bungkam, kaget, terkejut, kaku semuanya bercampur aduk.
Hafiz masih boleh menguntumkan senyuman.
“Cikgu Hafiz. Yang mengajar fizik?” Sarina mahukan kepastian.
“Ya.” Sambil mengangguk kepala. Sarina rasa nak pitam.
“Ya, Allah. Saya betul-betul tak perasan cikgu. Cikgu dah lain sangat. Nampak...nampak makin handsome.” Pujian Sarina membuatkan Hafiz terasa malu. Pipinya sudah memerah.
“Ish, taklah. Macam dulu lagi.” Tangkis Hafiz. Perasaan malu mula menapak dalam dirinya.
“Betul. Kalau tak, saya kenallah cikgu. Tapi saya betul-betul tak perasan. Patutlah...” meleret suara Sarina.
“Patut apa?” terjongket kening kanan Hafiz ingin mengetahui isi hati Sarina.
“Patutlah saya rasa macam kenal. Rupa-rupanya cikgu sendiri.”
“Biasalah. Umur dah makin menginjak. Bukannya makin menurun. Takkanlah makin lama, makin jadi ke arah baby.”
“Okeylah tu. Kalau baby, mestilah comel.” Gurau Sarina tanpa dia ketahui ada mata yang hangat memandangnya.
“Pandailah awak. Masih macam dulu lagi. Suka sangat menyakat orang. Cikgu nak tanya ni tapi janji jangan lari.” Bisik Hafiz perlahan.
“Apa pula. Baiklah. Saya janji. Apa?”
“Awak masih minat saya lagi ke?” terus merah muka Sarina. Malu-malu reaksinya.
“Apalah cikgu ni. Tanya soalan macam tu. Buat saya malu aje.”
“Macamlah saya tak tahu. Surat yang awak nak bagi pada saya tu pun masih saya simpan.” Hafiz masih mahu terjah. Seronok pula dia melihat wajah Sarina yang memerah.
“Hah?! Patutlah saya cari surat tu tak ada. Siapa yang bagi?” terkejut kera Sarina dengan penyataan Hafiz.
“Madiah.”
“Ish, nak kena budak tu. Nantilah. Saya pelangkung dia dengan pinggan mangkuk hayun. Baru dia tau.” Sarina bercekak pinggang. Hafiz ketawa melihat gelagat Sarina.
“Eh, cikgu bagilah pinggan tu. Biar saya ambilkan nasi.” Sekali lagi Sarina menghulurkan tangan.
“Tak apa ke? Tak menyusahkan?”
“Taklah. Mari sini pinggan tu.” Paksa Sarina lagi.
Hafiz menyerahkan pinggan. Tika itu, mata yang memandang adegan sebentar tadi sudah resah dan gelisah. Duduknya sudah tidak selesa lagi. Mukanya sudah cemberut.

No comments:

Post a Comment